Sunday, December 27, 2009 / Labels:

Bubur Asyura dan Laksa Sarawak

Hatta burung-burung, tumbuh-tumbuhan, dan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini, semuanya bergantung kepada ALLAH yang memberikan rezeki. Maha Suci ALLAH, Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

10 Muharam 1431H - Hari Asyura, hari yang disunatkan untuk berpuasa, puasa pada hari ini seperti sabda Rasulullah s.a.w, mengampunkan dosa-dosa setahun yang lalu [HR Muslim]. Ramai yang tertanya-tanya tentang Hari Asyura, banyak juga blog-blog yang mengisahkan tentang peristiwa di Padang Karbala hingga terjadinya Hari Asyura, tidak kurang juga yang mengidam-idamkan Bubur Asyura pada Hari Asyura.

Berjalan-jalan di Facebook akhirnya menemukan ana dengan satu diskusi yang sedang membincangkan hal Bubur Asyura. Di situ ana terjumpa pula resepinya untuk dikongsi bersama pembaca.

Bubur Asyura versi KTDI

Bahan-bahannya:

250 gm daging
250 gm santan
100 gm kacang tanah
100 gm kacang kuda
100 gm kacang kidney
2 cawan biji gandum
½ cawan beras
4 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
Sedikit halia
1 sudu kecil biji lada hitam ditumbuk
1 sudu kecil rempah beriani
2 sudu minyak masak
Garam dan air secukupnya

Cara Membuatnya:

1. Beras, gandum dan kekacang dibasuh dan ditoskan. Kemudian jerangkan dalam periuk dengan air secukupnya hingga menjadi bubur. (Alia cakap, masukkan juga daging yang telah direbus di sini)

2. Panakan minyak masak dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk hingga naik bau.

3. Kemudian masukkan tumisan ini ke dalam periuk bubur bersama tiga cawan air, garam dan santan. Gaulkan hingga rata.

4. Masak bubur ini selama empat jam. Kacau selalu supaya tidak kerak.

5. Lebih enak jika ditaburkan bawang goreng, daun sadri dan telur dadar.

Terima kasih kepada Nurul Alia M. Rosli yang berkongsi resepi ini di Facebook

Bubur Asyura melakarkan banyak kisah sepanjang ana berada di UTM. Bubur Asyura yang dimasak bersama rakan-rakan JKM Kolej Tuanku Canselor, rakan-rakan Kolej Tuanku Canselor dan rakan-rakan KRU Kolej Tuanku Canselor. Kadang-kadang bubur lambok pun boleh jadi Bubur Asyura..Sebelum ke UTM, ana tak pernah sekali pun makan bubur lambok, tetapi bubur nasi biasa tanpa dicampur segala bahan lain itulah yang keluarga ana makan. Dicampur dengan sedikit gula dan dimakan bersama ikan bilis. Ana pernah nampak sekali sahaja sebelum ana ke UTM, itu pun ketika tukang masak restoran tempat ana bekerja memasaknya untuk seorang tukang masak lain yang sedang demam. Hakikatnya, tukang masak itu kedua-duanya orang Kelantan dan majikan ana memang berasal dari Kelantan dan berkahwin dengan orang negeri ana.

Sebetulnya, beberapa hari yang lepas adik ana meminta supaya ana postkan resepi Laksa Sarawak ke blog. Baru hari ini ana teringat untuk memasukkan entri tersebut. Hai...dik, akak da balik UTM baru nak belajar buat ye? Laksa Sarawak sememangnya antara makanan yang paling digemari oleh keluarga ana, dan di kalangan ahli keluarga, hanya ana seorang sahaja yang tahu membuatnya. Maka, kepulangan ana ke rumah memang sering ditunggu-tunggu semata-mata untuk Laksa Sarawak.

"Ti, 'a ikau betak mi anou ditak nou jikdau inah?"
(Ti, kamu tak buat mee yang kamu buat dulu tu?)

Mak la yang selalu bertanya. Laksa Sarawak menggunakan mee kuning, maka mereka menggelarnya mee sebelum ana mengingatkan bahawa makanan itu adalah Laksa Sarawak. Kalau bukan mak, adik ana - Imah - yang akan bertanya. Kali ini, yang meminta resepi pula adik bongsu ana, Icah. Oklah, dik. Ini resepi yang akak ingat...

Laksa Sarawak versi Keluarga Pak Mat

Bahan-bahannya:

Dada ayam (dipotong dadu)
2 cawan kacang tanah (dikisar halus)
1 sudu perahan limau nipis
1 bungkus mee kuning (dicelur)
Santan kelapa (2 biji kelapa)
Garam dan gula secukupnya
Sedikit minyak masak

Bahan-bahan untuk dikisar:

10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
15 tangkai cili kering
2 cm lengkuas
2 cm halia
1 biji bawang besar
2 batang serai

Bahan-bahan lain:

Hirisan ayam (direbus)
Hirisan tauhu (digoreng)
Hirisan timun
Tauge (kalau mahu)
Hirisan sengkuang

Cara-cara membuatnya:

Tumis bahan kisar hingga naik bau. Masukkan ayam yang dipotong dadu dan biarkan hingga ayam masak atau empuk. Kemudian masukkan santan kelapa. Biar 30 minit. Setelah itu, masukkan kacang tanah yang telah dikisar dan perahan limau nipis. Jangan lupa garam dan gula secukup rasa. Biar lagi 5-15 minit. Bila masak, hidangkan bersama mee kuning dengan hirisan ayam, tauhu, timun, dan sengkuang. Kadang-kadang ada juga yang menambah bijan ke dalam Laksa Sarawak. Ada juga yang menggunakan udang, tetapi kerana beberapa orang di dalam keluarga ana alah kepada udang, maka ana tidak pernah menggunakan udang di dalam laksa.

Senang je dik, cuma penyediaannya agak mengambil masa.

Ini pula resepi Laksa Sarawak daripada Chef Wan Ismail di Resepi.net

Bahan-bahan:

Minyak untuk menumis
8 cawan santan daripada 1 1/2 biji kelapa
1 ekor ayam anggaran 2 kg dipotong mengikut suka
Garam dan gula
500 gm udang basah
1/2 cawan kacang tumbuk
Mee secukupnya, dicelur
Telur, direbus dan dibelah dua
1 tangkai daun ketumbar, dicincang halus
Timun, dihiris nipis

Bahan-bahan kisar:

1/4 cawan bijan
15 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
5 biji buah keras
20 tangkai cili kering, direndam air panas
1 cm lengkuas
4 batang serai

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bahan-bahan dikisar hingga wangi.

2. Masukkan santan dan ayam. Masak hingga ayam empuk. Masukkan garam dan gula.

3. Keluarkan ayam dari kuah lalu disiat-siat isinya.

4. Masukkan udang dan kacang tumbuk di dalam kuah, kacau sebari dan padamkan api.

5. Bubuh mee di dalam mangkuk dan tuang kuahnya. Letakkan telur rebus, daun ketumbar dan timun. Hidangkan panas-panas.

Pilihlah resepi mana yang disukai. Dah selesai makan, jangan lupa pula untuk mengajar sahabat lain. Ilmu bukan untuk disimpan, tetapi untuk dikongsi. Apa yang kita dapat di dunia ini, semuanya milik ALLAH jua.

Pautan Rasa (0) / Read More

Thursday, December 24, 2009 / Labels:

Revolusi Yang Ditangguhkan

Alhamdulillah...setelah begitu lama mencari dan menyelidik serta menyiasat, akhirnya ketemu juga dengan buku ini. Sudah dicari di Badan, Angsana, tetapi bukunya telah habis terjual, cuba dicari di kedai-kedai buku yang lain, tidak berjumpa. Akhirnya, atas kepercayaan ana terhadap agensi yang menjual buku secara online ini, Jumaat lepas (18 Disember 2009) ana menghubungi tuan punya agensi melalui emailnya untuk mengetahui sama ada buku ini ada di dalam stok atau tidak kerana di halaman blognya (bukuonline2u), buku ini tiada dipromosikan. Ana menunggu balasan email tidak lama, beberapa minit selepas itu Encik Wan Saif membalas dan memberitahu, hanya tinggal sebuah sahaja buku tersebut. Ana pun menempahnya dan berjanji akan memindahkan duit ke akaun mereka petang itu juga. Setelah memindahkan sejumlah wang, ana menghubungi Encik Wan Saif semula berserta dengan alamat untuk tujuan pengeposan. Alhamdulillah, baru malam ini tadi seorang sahabat menyerahkan bungkusan yang selamat sampai ke alamat rumah sewanya.

Revolusi Yang Ditangguhkan hasil karya Shahnon Ahmad

Sebelum ini, ana pernah juga membeli buku melalui agensi ini, antaranya Cinta di Rumah Hassan al-Banna, Aku Terima Nikahnya (hadiah untuk adik) dan Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden. Alhamdulillah, ana tidak pernah dikecewakan. Maka dengan ini, ana merekemenkan antum yang berminat untuk membeli buku secara online melalui agensi ini jika buku yang antum cari tiada di kedai-kedai buku. Kunjungilah blog agensi di bukuonline2u.

Pautan Rasa (0) / Read More

Monday, December 21, 2009 / Labels:

Bermain Dengan RASA

Khas untuk kamu: Violet Biru

Ini buat kamu yang teRASA..
Yang meRASAkan dirimu sedang bermain dengan peRASAan..

Kerana kamu sudah tidak tega untuk bersabar dengan peRASAan..
Kerana kamu sudah tidak kuat untuk meRASA segala..
Kerana kamu pantang RASA dicabar..
Kamu meRASAkan kamu patut melepaskan semua RASA..

Wahai yang teRASA..
Jangan biarkan dirimu tidak berpeRASAan..
Jangan pula biarkan dirimu dikawal peRASAan..
Kerana jika peRASAan yang menjadi tuan..
Kau akan kehilangan yang diRASA selama ini..

Maka naikkanlah awan RASA itu ke tingkat tertinggi..
Biar peRASAan itu tenang berada di tempatnya..
Bertemu dengan Pencipta RASA..
Di puncak RASA, CINTA Teratas..

Sunah Mohammad
10.10 am
S24/106A

Pautan Rasa (0) / Read More

/ Labels:

Sudahkah Anda?

Alhamdulillah, akhirnya...Setelah beberapa kali menyemak (pendaftaran mengambil masa tiga bulan untuk semakan), nama telah pun masuk ke dalam data base pemilih. Bagaimana pula dengan anda? Sudahkah anda mendaftar?

Pautan Rasa (1) / Read More

Thursday, December 17, 2009 /

10 Wasiat Imam Hassan al Banna

Perjuangan fi sabilillah bukan mudah, dakwah Islam memerlukan pengorbanan, redha ALLAH hanya dapat dicapai dengan keikhlasan dan keyakinan yang tinggi pada janjiNYA yang haq.
Foto: Muslimpage


10 WASIAT IMAM HASSAN AL BANNA

Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walau bagaimana keadaan sekalipun.

Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.

Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam.

Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.

Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan ALLAH itu sentiasa tenang lagi tenteram.

Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan dengan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah satu resmi yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang memberi kebajikan.

Berkenal-kenalanlah dengan setiap muslimin yang ditemui kerana asas gerakan dakwah kita ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.

Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

Pautan Rasa (0) / Read More

Monday, December 14, 2009 /

Day After Day

Hari-hari yang berlalu ibarat titis-titis embun, akan hilang setiap pagi ketika mentari menampakkan sinarnya. Masa sentiasa berlalu pergi, isilah hari-harimu dengan sesuatu yang berharga.
Foto: Muslimpage

Day 2


“Kenapa kamu tak pergi?”

“Tak ada rasa hati nak pergi.”

“Sebab tak ada rasa je la eh?”

Diam. Sememangnya ‘tak ada rasa’ itu adalah antara sebab yang paling utama menyebabkan dia menarik diri, tetapi ada sebab-sebab lain lagi yang menguatkan hatinya untuk tidak turut serta dan sebab-sebab itu pernah dikisahkan kepada sahabat-sahabat yang dekat dengannya.


Day 3

“Mak cik sorang je ke kat rumah ni?”

“Taklah, suami mak cik ada kat dalam.”

“Owh.”

“Suami mak cik sakit, kena strok.”

Dia tersentak lalu berpaling kepada sahabat yang menunggu di luar pagar rumah. Sahabat itu nampak tertanya-tanya. Segera dia mendekati sahabatnya.

“Suami mak cik sakit, mari doakan kesihatan untuknya.” Sahabat itu terkejut lantas masuk ke dalam, menghampiri mak cik.

“Mak cik, suami mak cik sakit? Boleh kami masuk?” tanya sahabat itu.

“Masuklah, nak.”

Suami mak cik itu sedang duduk di kerusi sebelah pintu. Sebatang tongkat kelihatan di tangan kirinya.

“Apa khabar pak cik?” Pak cik itu terangguk-angguk, bersuara perlahan.

“Dah dua tahun da pak cik strok,” mak cik memberitahu.

“Anak mak cik sekolah lagi?”

“Sekolah lagi, sorang di universiti, sorang masih di sekolah menengah.”

“Mak cik ada minta bantuan kebajikan di mana-mana?”

“Ada, di Baitulmal je.”

“Tak minta pada kerajaan negeri? Pada YB?” Mak cik geleng. Wajahnya berubah sedikit.

“Erm, mak cik, pak cik. Sama-samalah kita berdoa agar ALLAH mempermudahkan urusan mak cik dan pak cik. Semoga pak cik cepat sembuh.” Sahabat itu menadah tangan diikuti dengan yang lainnya termasuk mak cik dan pak cik. Entah mengapa hati rasa sebak dan sayu. Ya ALLAH, semoga dipermudahkan perjalanan hidup mereka.

Usai doa diaminkan, dia bersalaman dengan mak cik. Mata mak cik ditentang. Air mata bergenang.

“Terima kasih, nak.”


Day 4

Badannya sudah terlalu lemah. Peluh tidak berhenti-henti keluar. Kata-kata yang keluar pula sudah tidak menentu sejak selepas Zohor tadi.

“Eh, pucatnya.” Seorang sahabat menegur lalu memberitahu sahabat lain. Ya, dia memang sudah tidak berdaya. Dua orang sahabat memimpinnya ke kerusi. Setelah duduk, dia ditanya dengan berbagai-bagai soalan yang tidak mampu dijawab. Entah kenapa kelopak mata terasa sangat berat dan hampir terpejam sehingga mereka mengajaknya masuk ke dalam.

Di dalam itu, dia dibaringkan. Mata sudah tidak mampu dibuka. Suara-suara sahabat sahaja yang kedengaran di telinga. Jari-jemari sahabat memicit bahagian bahu yang sudah sedia sakit sejak bertahun-tahun dahulu. Kecederaan kekal bahagian otot bahu kanan yang pernah menyebabkan dia terfikir mahu ke Darul Syifa’ tetapi masih tidak kesampaian hingga kini. Dipicit sahaja bahagian itu menyebabkan dia tersentak, mengerang perlahan. Dia pasti sahabat-sahabatnya nampak perubahan wajahnya apabila bahagian tersebut disentuh. Minyak panas disapu. Tidak lama kemudian, dia tertidur.

Hampir Asar, seorang sahabat masuk ke dalam mengejutkan.

“Tak nak tengok sahabat-sahabat lain buat apa? Larat tak?” tanya sahabat tersebut. Dengan mata yang masih terpejam, dia menggeleng perlahan. Hati rasa terkilan.

Jam 5, seorang sahabat mengejutkan. “Solat Asar jom.”

Dia bangun, agak terhuyung-hayang mengambil wudhuk. “Ok ke?” Suara sahabat-sahabat bertanya keadaaan diri berulang-ulang di telinga. Hanya senyuman yang mampu diberikan. Kemudian, mereka solat berjemaah bersama-sama. Selepas solat, dia rebah lagi. Sayup-sayup suara bimbang sahabat-sahabat kedengaran.

Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan Engkau ya ALLAH.


Hari-hari selepas itu

“Minta maaf, tak dapat nak cek. Broadband ada masalah.”

“Insya’ALLAH nanti ye. Sekarang tak boleh, broadband tak dapat diguna.”

“Tolong beritahu dia, tak dapat nak update sekarang, broadband rosak. Maaf sangat-sangat.”

“Tak dapat nak tengok tiket sekarang, broadband ada problem. Insya’ALLAH esok nak pergi Celcom Centre.”


Celcom Centre

“Simcard ni atas nama Nur Afzani Tual, nama awak kan?”

“Apa dia? Ulang nama tu boleh?”

“Nur Afzani Tual.”

Owh, Celcom, Celcom...terima kasih kerana menyusahkan.


Hari-hari tanpa internet

“Pa, ada tak mi segera selain Maggi?” tiba-tiba soalan itu keluar tatkala tangan ligat membalut pulut panggang.

“Ada je kat kedai.” Bapa yang membentuk pulut di sebelah menjawab.

“Boleh tolong belikan? Tiba-tiba mengidam mi segera perisa kari, tapi tak nak Maggi.”

“Kenapa tak makan Maggi?” Mak yang sedang mengangkat loyang kuih seri muka dari pengukus bertanya. Bau pandan memenuhi ruang dapur.

“Sebab kita kena boikot Maggi.”

“Tak boleh makan ke?” Mak tidak faham.

“Boleh makan, mak. Tapi kalau kita beli, nanti duit kita tu akan digunakan untuk buat peluru Israel menembak saudara kita di Palestin.”

“Jadi, tak bolehlah kita beli ye,” ujar mak faham.

“Gaza,” suara bapa.

“Ye, Gaza.”

“Israel. Dalam al-Qur’an ada disebut tentang mereka.” Bapa tidak berhenti membentuk pulut.

“Ye, tapi Bani Israil yang dulu tu tak sama dengan yang sekarang, pa. Yang sekarang ni, Masjidil Aqsa tu mereka nak runtuhkan. Mereka rampas tanah Palestin, mereka tak berhak pun duduk situ.”

****


Alkisah pagi itu Laksamana Cheng mendapat titah untuk menghadap Sultan Yangdip. Segeralah dia bersiap-siap dengan persalinan yang indah kerana Sultan Yangdip sudah sedia diketahui rakyat suka pada yang indah-indah sahaja. Kalau tidak indah ketika menghadapnya mungkin akan ditangkap tanpa bicara. Laksamana Cheng, sudah namanya pun laksamana, tidak lupa untuk membawa kerisnya bersama-sama. Siapa tahu, mungkin di pertengahan jalan ada musuh menyerang. Lagak Laksamana Cheng itu tidak ubah seperti Laksamana Hang Tuah semasa empayar Kesultanan Melayu Melaka dahulu kala hendaknya.

Sampai sahaja di istana, matahari sudah di atas kepala. Sultan Yangdip memanggil sekalian bendahara, temenggung, para orang kaya dan sekalian hulubalang untuk bersama-sama menyantap hidangan. Tidak terkecuali Laksamana Cheng yang telah diundang awal. Hidangan tengahari itu sangat enak dipandang, mungkin juga enak untuk ditelan. Kecur air liur Laksamana Cheng sehingga terketar-ketar badannya sampai tidak sedar kerisnya jatuh ke bawah meja santapan.

“Baiklah, semua sudah ada di sini. Dato’ Temenggung Jamil, mulakanlah doa,” titah Sultan Yangdip. Doa makan dibaca. Seperti biasa, ‘untuk agama lain, sila bertafakur mengikut agama masing-masing.’

Sambil-sambil makan itu, mereka berbincang isu kerajaan. Begitu banyak sekali isunya hingga isu keris pusaka Kesultanan Melayu Melaka dicuri pun keluar juga.

“Ha, tuan laksamana, jangan nanti keris tuan juga dicuri.” Dato’ Bendahara Muhyin mengingatkan.

“Takkanlah, dato’. Keris hamba yang tidak seberapa ini mana mungkin menjadi perhatian para pencopet.” Laksamana Cheng tersengih-sengih sambil meraba keris yang sudah tiada di pinggang. Dia terkejut tetapi disembunyikan perasaannya itu, lalu dicari-cari keris yang hilang. Kain meja diangkat perlahan, diraba-raba lantai dengan hujung jari kaki. Lama juga dia meraba-raba sambil menyantap Ayam Masak Lemak, sambil tersenyum kepada Dato’ Bendahara Muhyin, sambil menjeling Sultan Yangdip yang nampak tenang. Akhirnya dia ketemu keris yang rupa-rupanya di bawah kerusinya. Hendak dicapai dengan tangan, tidak tercapai-capai. Lalu Laksamana Cheng bangun tiba-tiba dan membongkok mengambil kerisnya.

“Cis, celaka tuan laksamana! Biadap sungguh menunjuk punggung kepada baginda sultan!” Orang Kaya Liluh menepuk meja. Sultan Yangdip yang sedang meratah Ayam Masak Lemak mengangkat muka, melihat Laksamana Cheng yang sedang berdiri terpinga-pinga. Tidak nampak pula dia menunjuk punggung kepadanya.

“Apa benar kamu menunjuk punggung kepada beta?” tanya Sultan Yangdip.

“Ampun tuanku. Tidak benar sama sekali. Hamba hanya mengambil keris hamba yang jatuh, tuanku.” Laksamana Cheng mempertahankan diri sambil mengangkat kerisnya.

“Dia berbohong. Hamba nampak dia menunjuk punggung! Kalau tuanku tidak percaya, tanyalah sekalian orang kaya. Kerana keris pula, cerita apa ini?” Orang Kaya Liluh mencebik bibir.

“Orang-orang kaya sekalian, beta mahu mengira undi. Siapa yang nampak Laksamana Cheng menunjuk punggung kepada beta, sila angkat sudu,” titah Sultan Yangdip.

Orang Kaya Liluh paling bersemangat mengangkat sudunya tinggi-tinggi, seakan-akan mahu berdiri di atas kerusi pula tetapi dibatalkan hasratnya itu, takut dia pula yang dianggap biadap.

“Nampaknya undi lebih 2/3, tuanku,” beritahu Dato’ Bendahara Muhyin.

“Cis, berani kamu Laksamana Cheng! Selama ini beta melayan kamu seperti ikan emas, tetapi hari ini kamu menconteng arang di muka beta! Keluar dari istana sekarang!” Sultan Yangdip murka. Merah benar mukanya, matanya terbeliak kerana terlalu murka.

“Ampun tuanku, ini fitnah! Hamba tidak berbuat begitu tuanku, sumpah!”

“Sumpah, sumpah. Apa kamu ingat ini kes Sifulbu? Keluar sekarang!” Orang Kaya Liluh menepuk meja lagi.

“Ampun tuanku. Hamba berjanji kepada diri hamba, hamba akan buktikan hamba tidak bersalah. Tunggulah sekalian orang kaya, tunggulah.” Laksamana Cheng seolah-olah berbai’ah pula lagaknya seraya beredar meninggalkan meja santapan.

****

Tema sudah mantap, Hikayat 1001 Malam. Tema pakaian cukup indah, pakaian timur tengah. Terbayang di fikiran, mereka akan berjubah, berserban, nyata mereka memang berjubah dan berserban. Indah-indah semuanya. Yang terawal keluar sudah menunjukkan yang indah-indah. Sekali lihat terkenang siri Qamar Bani Hashim. Artis-artis lelakinya berjubah putih, bertutup kepala dengan kain serban. Samalah dengan mereka yang di hadapannya kini.

Tidak lama kemudian, tepukan paling gemuruh kedengaran. Lensa-lensa kamera mula menangkap gambar. Indah, indah...Seorang artis wanita keluar, bertudung kepala siap berpurdah. Pakaiannya dari atas memang tertutup, tetapi bagaikan tercabut jantung apabila melihat skirt pendek paras atas lutut yang dipakai artis tersebut. Sampai di hadapan mikrofon, purdah dibuka, menampakkan leher jinjangnya.

Terima kasih, inilah kekeliruan berfesyen, betul-betul manikam kalbuku.


****

Mula-mula rebus empat biji tomato hingga air mendidih. Kemudian buang kulitnya dan cincang. Ketepikan. Ambil sebiji bawang besar, dipotong dadu, dua ulas bawang putih, dihiris. Sebiji lobak merah dipotong dadu, setengah tin cendawan butang dihiris. Daging kisar direbus dengan serbuk lada hitam dan sedikit garam hingga empuk.

Panaskan minyak, tumis bawang besar dan bawang putih, masukkan lobak merah dan cendawan butang. Selepas itu, masukkan daging kisar dan gaul rata. Kemudian, masukkan satu sudu besar mentega, satu tin puri tomato dan buah tomato yang telah dicincang, gaul hingga sebati. Masukkan garam secukupnya, serbuk lada hitam dan oregano. Boleh juga dimasukkan sedikit keju.

Spagethi direbus dan ditoskan. Makan panas-panas bersama kuah yang telah masak.

****

“Banyaknya, mak!”

“Yelah, nak bayar barang-barang kenduri lagi.”

“Kan menyusahkan bakal suami tu.”

Diam.

“Macam nak jual anak je, tak nak kahwinlah macam tu.”

“Mana boleh tak kahwin.”

****

Sepuluh biji bawang merah dimayang. Empat biji kentang dihiris nipis dan direbus hingga empuk. Giling kentang bersama bawang merah. Kemudian, masukkan daging kisar atau ayam kisar. Campurkan sedikit garam dan serbuk lada sulah. Campurkan juga dengan setangkai daun sup yang telah dihiris halus. Sebiji telur dipukul hingga kembang. Kemudian, bulat-bulatkan adunan kentang dan celup ke dalam telur sebelum digoreng hingga kekuningan.

Bergedil siap dimakan.

****

Gegaran pertama.

Gegaran kedua.

Mereka fikir ia gegaran penghujung. Tidak sama sekali! Ia gempa bumi, dan ia akan merebak. Gegaran ketiga diramal bakal berlaku, tetapi hanya dua orang ahli kajian mempercayai setelah kawasan garis sesar diperiksa.

Gegaran ketiga. Ramalan tepat. Banyak yang terkorban. Jambatan San Francisco runtuh ke dalam sungai.

Mungkinkah akan ada gegaran keempat? Ya, dan cara untuk menghentikannya adalah dengan letupan nuklear pada garis sesar. Lima peluru berpandu mesti ditanam beratus-ratus kaki ke dalam bumi di lima pusat berbeza. Kerja ini berbahaya, rakyat akan terdedah kepada radiasi, tetapi keberjayaannya akan menyelamatkan hampir 50 juta nyawa manusia. Akhirnya rakyat kawasan yang diramal akan mengalami gempa dipindahkan, dan empat peluru berpandu telah berjaya ditanam.

Peluru kelima hampir ditanam apabila gegaran mula dirasai. Peluru terlepas ke dalam lubang pada tanah tetapi tidak sampai ke aras yang sepatutnya. Hanya separuh lubang, peluru tersangkut di pertengahan jalan. Ketua operasi masuk ke dalam lubang untuk mengaktifkan peluru berpandu. Dia tahu nyawanya akan terkorban, tetapi ini adalah satu-satu pilihan yang ada. Bukan pilihan lagi, tetapi memang ini adalah satu-satunya cara. Ketika cuba untuk mengaktifkan, gegaran dirasai lagi, dia terjatuh ke dasar lubang. Peluru berpandu bergerak sedikit, yang sedikit menjadi banyak. Peluru tergelincir, menghenyak ke dada ketua operasi. Darah terhambur keluar dari mulutnya. Berapa berat peluru berpandu itu tidak pula diberitahu.

Saat-saat genting itu permintaan terakhir adalah untuk bercakap dengan anak lelakinya. Seorang doktor di pusat pemindahan. Kata-kata terakhirnya turut didengari oleh Tuan Presiden dan ahli-ahli kajian. Gegaran semakin hebat, peluru berpandu mula diletupkan. Peluru pertama, kedua, ketiga, keempat, dan akhirnya ketua operasi berjaya mengaktifkan peluru berpandu kelima. Letupan itu menghancurkan tubuhnya. Gegaran semakin kurang hingga mencapai 0.0 pada skala Richter.

Mereka menarik nafas lega. Tidak sampai beberapa minit, pakar dalam kumpulan kajian mengesan sesuatu yang pelik. Masih terdapat tanda-tanda pergerakan plat bumi berhampiran kawasan peluru berpandu kelima. Tuan Presiden segera dimaklumkan. Gempa mungkin akan berlaku dalam dua hingga tiga jam lagi dan kesannya mungkin yang paling teruk dan bakal mengubah geografi California.

Pakar dalam kumpulan kajian memeriksa kawasan yang disyaki, sungai telah mengalir ke arah yang bertentangan dengan sepatutnya, air sungai didapati mengalir ke dalam pusat garis sesar. Gegaran kecil mula dirasai. Mereka ke pusat pemindahan, pakar menyatakan rasa kesal, tiada apa yang dapat dilakukan lagi. Tiba-tiba gegaran berlaku, semakin kuat hingga menjatuhkan segala apa yang berdiri, meranapkan segala yang melangit. Magnitud pada skala Richter semakin tinggi hingga melebihi 9.0. Air dari laut di selatan California membentuk tsunami. Bumi California merekah, pusat pemindahan turut terbelah kepada dua bahagian, magnitud gempa masih meningkat. Rakyat berlari menyelamatkan diri, tidak kurang juga yang terkorban. Hampir-hampir sahaja pakar dalam kumpulan kajian terjatuh ke dalam rekahan yang telah dipenuhi air laut apabila gempa berhenti di hujung jari kakinya pada skala 10.5.

Sebuah pulau baru terbentuk. Kata-kata hero di penghujung cerita terngiang-ngiang di telinga.

“Ia menyedarkan kita bahawa kita tiada kuasa ke atas planet ini melainkan yang telah menciptakannya.”

10.5 Apocalypse – hari pertama dan kedua.



****

“RM 10,000 seorang.”

Keluhan.

“Nanti nak kahwin dengan orang mana?”

“Tak tahulah, mak.”

“Kalau lagi jauh, lagi banyak mak minta.”

“Mak, nanti orang nak nikah kat masjid. Tak nak bersanding, boleh?”

Diam. “Kenapa tak nak bersanding?”

“Tak pe lah, mak. Majlis tetap ada, makan-makan bersama sanak-saudara masih ada, tapi tak nak bersanding.”

“Bersalam-salaman dengan orang lepas nikah ada, kan?”

“Ye, mak...”

****

“Dik, masa kem KRIS lepas, kena habiskan makanan tak?”

“A’ah. Teruk tau.”

“Jadi, tolong habiskan makanan ye.”

“Waa, akak!!!”

Hargailah makanan.

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?

****

7.45 am.

7.45 am.

Dua kali. Nampak penekanan di situ.

21-12-2012

“Maka tatkala mereka merasakan azab KAMI, tiba-tiba mereka melarikan diri dari negerinya.” [21:12]

****

6 Disember 2009

Inai merah di jari.

****

Kita tidak akan bahagia selagi orang di sekeliling kita tidak bahagia.

****

9 Disember 2009
H-Vision Bintulu

Pertama kali berjumpa internet setelah tiga minggu lalu.

Aimsweb – Result – GPA: *.**, CGPA: *.**

Yahoo! – Email 1: Inbox (121), Email 2: Inbox (43)

Facebook – Terima kasih buat sahabat-sahabat yang merindui

Blog – Sekerat entri

****

Similaju? Apakah itu?

Sekali lagi perkataan itu disebut. Mak tergelak.

Dan sekali lagi kedengaran.

Ok, wahai pemberita dan krew TV3, bukan Similaju, tetapi Similajau, Bintulu. Terima kasih.

****

[10 Disember 2009]

“Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa.......!!!!!!” Adik ana menjerit nyaring. Gamat seketika ruang dapur apabila nama spesis itu disebut oleh adik. Bapa yang berada di tepi pintu tidak jadi memasukkan Ca Ca A ke dalam sangkar. Mak pula masih duduk di lantai, berhenti memotong daun pembalut tapai.

Ana cuba mengintai ke arah yang ditunjuk oleh adik yang masih ketakutan. Sejurus ternampak spesis itu, jantung ana tersentap. Kalimah istighfar terpacul keluar. Bapa sekejap-sekejap menoleh ke arah kami, kemudian cuba mencari apa yang dimaksudkan oleh adik pada bingkai pintu tanpa melepaskan Ca Ca A. Ana menuding ke arah yang sama, tetapi tidak kuat untuk memandangnya buat kali kedua. Bulu roma meremang, seram sejuk. Kalimah hawqala diulang-ulang. Adik sudah berada di atas kerusi, ana juga sudah tidak berani untuk menjejaki lantai.

Mak bangun, mendekati pintu. Dengan penyepit di tangan mak, spesis itu yang sudah sedia diketahui kemudaratannya jika dibiarkan hidup, mati di situ juga.

[Lebih 3 minggu yang lalu]

“Allah!” Urat nadi bagai terhenti. Spesis itu tidak jauh dari mereka, betul-betul berada di tepi tebing. Warna merah badannya menampakkan tahap bisa yang lebih tinggi daripada yang biasa. Mereka bergerak perlahan. Masing-masing berusaha untuk tidak membiarkan air berkocak kuat. Seboleh-bolehnya tiada satu titis pun yang akan terkena badan spesis itu untuk mengelakkannya naik darah. Tekak mula loya. Zikir tidak berhenti. Mata tidak lari dari memandang spesis itu, khuatir seandainya spesis itu mula bergerak ke dalam air. Jika itu terjadi, hanya ALLAH yang tahu apa yang menunggu.

[Darjah 6, beberapa hari selepas menerima suntikan Rubella]

Dia beralih posisi, mengiring ke kanan pula. Tatkala berpusing itu, terasa sesuatu yang tajam menusuk kawasan suntikan di lengan kanan. Kesakitan itu pada mulanya disangka kesan daripada suntikan yang sudah mula mengering. Dia bangun dari katil dan keluar dari bilik.

“Mak, sakit,” lengan baju disinsing. Kawasan suntikan dilihat membengkak.

“Memang la sakit, tak dapat tidur ke?” tanya mak yang sedang menonton televisyen bersama bapa dan adik bongsu.

“Nak tidur la ni tadi, tiba-tiba rasa sakit.”

“Sabarlah, esok-esok baiklah tu.” Mak tidak syak apa-apa. Semuanya tidak syak apa-apa.

“Baik. Masuk tidur dulu ye, assalamualaikum.” Dia kembali ke bilik. Kira-kira dua langkah lagi mendekati katil, matanya menangkap sesuatu berwarna hitam dengan panjang hampir empat sentimeter menjalar di bahagian hadapan baju yang dipakai. Keadaan itu mengundang tindakan refleks, jeritan kedengaran dan tangan kanannya mengibas-ngibas baju. Air mata sudah tidak terbendung lagi. Ya, dia takut! Kali pertama perkara ini berlaku pada dirinya, dalam keluarganya dan dalam hidupnya. Bapa masuk ke bilik.

“Kekipan!” Perkataan itu keluar. Mendengar sahaja perkataan yang bermaksud ‘lipan’ itu, bapa menyuruhnya keluar dari bilik. Mak menyuruh adik mengambil segelas air sambil melihat lengan yang disengat – atau mungkin boleh disebut sebagai ‘ditusuk’. Bapa masih di dalam, mencari ‘pemangsa’. Dia pula masih menangis. Air yang dibawa diteguk sedikit. Mak menyapu minyak panas. Bapa keluar dari bilik tidak lama kemudian.

“Tak jumpa.”

Itulah kisah dia dan lipan. Sejak itu, spesis tersebut menjadi ‘musuh’ keluarga.

****

Alhamdulillah...sejuk mata memandang suasana sekeliling. Ya, suasana sebegini sangat sukar untuk dilihat pada hari-hari biasa, kecuali pada hari raya, kenduri, dan hari-hari keraian yang lain. Baru hari ini terasa izzahnya, muslimin bersongkok dan berkopiah, siap berbaju Melayu juga, manakala muslimat bertudung dan berbaju kurung, ada juga yang berjubah labuh. Ramainya manusia berpakaian mengikut syariat di bawah satu bumbung yang luasnya lebih besar daripada rumah ana, malah lebih besar dari masjid yang berdekatan dengan rumah ana. Mereka semua menunggu sesuatu.

Hari itu, 13 Disember 2009, jemaah haji pulang ke tanah air.
Bintulu Airport.
Indah dari biasa.

****

“Imah...”

“Ye?”

“Rindu...! Nak balik...” Air mata mengalir laju.

Hari ini, 14 Disember 2009, di kampus bersama-sama WifiUTM.
7.45 malam.

Pautan Rasa (6) / Read More

Wednesday, December 9, 2009 /

3 Minggu Berlalu

3 minggu tanpa internet. Rindu berlapis-lapis untuk membaca blog sahabat. Namun, terpaksa ditangguh hingga naik sem. Broadband tidak dapat digunakan sejak sebelum pulang ke rumah lagi. Ada kisah di sebaliknya, ana, bapa, mak, adik-adik, Zarith dan Aunty Jenny sahaja yang tahu kisah itu. Biarlah, bersabarlah dahulu.

Banyak kisah ingin dikongsi sepanjang ketiadaan internet. Tunggu~

09122009
10.43 am
H-Vision Bintulu
time left: 0:20

Pautan Rasa (1) / Read More

Saturday, November 14, 2009 / Labels:

Trigeminal Neuralgia


TN (Trigeminal Neuralgia) is a nerve disorder of unknown origin that causes sudden shock-like facial pains, typically near the nose, lips, eyes or ears. It is said to be the most excruciatingly painful human condition in the world

- sedang mengkaji -

Pautan Rasa (0) / Read More

/ Labels:

Nukilan Seorang Pejuang

Saya nak berjuang
Saya nak pegang panji ALLAH
Saya nak jadi FrontLINE
Saya nak jadi Jiran Rasulullah saw di syurga
Setiap hari saya nak menatap wajah ALLAH

Saya mesti SIHAT,
Kaki saya ALLAH pinjamkan untuk berjalan ke jalanNYA..
Kaki saya juga boleh guna untuk sepak terajang orang yang ingkar...

Mata saya untuk melihat ALLAH..
Mata saya untuk cegah maksiat...

Tangan saya untuk memaut TALI ALLAH
Tangan saya untuk menulis dan menaip
Tangan saya boleh pukul orang jahat
Tangan saya untuk tunjuk JALAN mana boleh berjumpa ALLAH

Stamina saya mesti Utuh
Stamina saya untuk terus bekerja sampai
saya berehat macam Arwah Ustaz Fadhil
Rehat... macam Pak Ismail dan Rasulullah saw rehat...
Saya tak nak rehat kat sini.... bagilah saya rehat kat sana...
Saya tak nak kena pukul kat sana...
Saya tak nak kene timah mendidih

Oleh: Zalikah Mat Zan (Mantan Pimpinan PMIUM)

Semoga roh almarhumah dicucuri rahmat olehNYA dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang bertaqwa. Al-Fatihah.

Pautan Rasa (0) / Read More

Friday, November 13, 2009 /

2012 - Satu Lagi Rancangan Illuminati?

Ini bukanlah hasil tulisan ana. Sekadar berkongsi entri di blog Ustaz Syaari untuk menjadi tatapan dan renungan pembaca.

2012 sedang berada hangat di pawagam. Saya sedang mencuri masa mendapatkan sumber filem itu untuk ditontoni dan dikaji.

Pendirian saya mudah dalam filem-filem Hollywood. Siapa jua pengarahnya, termasuk Roland Emmerich sekalipun. Rekod filem beliau dalam pendedahan simbol peristiwa 'letupan' WTC pada 11 September 2001 dan beberapa simbol Illuminati melalui beberapa filemnya sebelum peristiwa itu berlaku sudah cukup menambahkan keyakinan saya bagaimana kelicikan proksi-proksi Illuminati.


Mesej 9-11 dalam "Independence Day" (1996)

Salah satu adegan dalam The Indepence Day (1996). Presiden diberikan taklimat mengenai bagaimana satelit berfungsi. Simbol apakah itu ?

Masonic Symbol

Mesej 9-11 dalam "Godzilla" (1998)

That Patriot (2000)

Filem-filem Emmerich juga seakan-akan sentiasa tidak lekang dari simbol "Piramid" yang menjadi simbol Illuminati.




Dalam filem 2012 pula, saya ingin berpesan, jangan anda memandang remeh setiap adegan dalam filem tersebut walaupun hanya beberapa detik dan beberapa saat atau yang mungkin disebut oleh orang ramai sebagai "alah, kebetulan je adegan macam itu..."

Saya belum melihat penuh filem tersebut. Jadi saya tidak mahu lagi ulas panjang. Tetapi trailer filem 2012 di Youtube sudah cukup menimbulkan beberapa persoalan dalam benak fikiran saya.

Pertama : Kapal JFK dan kemusnahan White House

Adegan kapal J.F.K menghempap White House dalam poster 2012.

Simbolik bahayanya J.F.K kepada 'pemilik' sebenar White House ?


Kedua : The One Place on Earth Not Destroyed in '2012'


"In Roland Emmerich's upcoming global demolition derby movie 2012, the director gets to indulge his passion for destroying landmarks on a world scale.

In previous movies, he's destroyed the Empire State Building and the White House (Independence Day), sent a giant monster into the middle of Manhattan (Godzilla), blown away the famous Hollywood sign and the Capitol Records building in Los Angeles (The Day After Tomorrow) and savaged New York again by flooding and then freezing it (also The Day After Tomorrow).

Emmerich said that he got approached by people who wanted their landmarks destroyed, such as the 101 Tower in Taipei, the world's tallest building. But Emmerich was thinking of something even more explosive: the Kaaba, the cube-shaped building at the heart of Mecca, the focus of prayers and the Islamic pilgrimage called the Hajj; it is one of Islam's holiest sites.

Really?

"Well, I wanted to do that, I have to admit," Emmerich says. "But my co-writer Harald said I will not have a fatwa on my head because of a movie. And he was right. ... We have to all ... in the Western world ... think about this. You can actually ... let ... Christian symbols fall apart, but if you would do this with [an] Arab symbol, you would have ... a fatwa, and that sounds a little bit like what the state of this world is. So it's just something which I kind of didn't [think] was [an] important element, anyway, in the film, so I kind of left it out." - Sumber


Musuh bernama Illuminati sangat licik. "Illuminati believes by exposing their symbols it will expose their powers over everything." Sebab itu saya lebih suka untuk melihat apa yang tersirat dari kenyataan tersurat Remmerich di atas.

Namun saya pulangkan terlebih dahulu kepada pandangan pembaca atau penonton 2012.

Saya sudah pernah menulis mengenai Illuminati dalam Hollywood di sini dan membentangkan pandangan saya di kampus UIA PJ.

Lihat juga penguasaan mereka industri muzik dunia yang mereka kuasai dan apa yang mereka lakukan kepada Michael Jackson.


Konspirasi Illuminati Pada Michael Jackson dan artis-artis anti NWO




Tema "Yes We Can" Obama. Jika diterbalikkan suara akan menjadi "Thank You Satan". Ini antara slogan wajib para artis yang bernaung di bawah Illuminati. Jika mereka berpaling tadah, nasib seperti apa yang berlaku pada MJ akan berulang. Di sebalik kulit hitam MJ dan kulit hitam Obama, semua itu sudah pun berada dalam grand-design penyebaran pengaruh mereka. Saksikan juga temuramah dengan MJ dan apabila dia berkata "I don't wanna to say too much...conspiracy..."

Perancangan mereka sentiasa halus. Dengan sebelah mata, anda tidak akan nampak perencanaan mereka. Buka kedua belah mata, baru akan nampak hakikat sebenar. Sememangnya kerja mereka menutupi sebelah mata kita. Berhati-hatilah. Bacalah mereka dan perencanaan mereka, maka barulah umat dan pejuang Islam akan mampu mengatasi kebijaksanaan mereka.

Sumber: Ustaz Syaari

Pautan Rasa (1) / Read More

Wednesday, November 11, 2009 /

Mereka Sebatang Pokok


ya ALLAH..seperti apakah aku ini di sisiMU?
adakah seperti pohon yang tetap teguh biar sehebat mana angin menderu?
adakah seperti dahan yang membuah memberi manfaatnya kepada yang singgah penuh harapan?
atau adakah seperti dedaunan yang luruhnya bermusim?
[sM]

semoga matahari menyinar dan menghidupkan kembali pohon ini
lihat dia masih punya daun
yang boleh menjalankan fotosintesis untuk sumber makanannya
jangan sangka ia akan mati sebaliknya ia sedang diam penuh misteri
dan menyusun strategik untuk membuat come back
yang bakal mengegarkan isi alam
[vB]

mungkin bagi yang buta hati, pokok ini nampak hodoh,
tidak membawa apa-apa erti
tetapi bagi yang celik mata hati,
renungnya jauh ke akar, fikirnya tinggi melangit..
mampukah aku menjadi pemikir yang seperti itu?
memikirkan strategi...seperti pokok yang diam penuh misteri..
[sM]

pokok yang dilihat teguh berdiri
dengan akar umbinya dan banyak cabangnya
tetapi setiap cabang itu
tidak menghasilkan sesuatu yang bermanfaat
bagi sesuatu di sekelilingnya
mungkinkah daun untuk teduhan manusia..
mungkinkah buah untuk haiwan yang singgah..
apakah pokok ini tidak diberi baja
untuk digunakan kelebihan yang sepatutnya ada
kepada org lain atau haiwan lain..
[sH]

jadilah seperti pokok
yang memberi manfaat kepada makhluk ALLAH yang lain,
bukan memberi mudarat..
tetapi kadang-kadang kilat akan datang menyambar,
yang berteduh hilang punca,
malah ditunggu maut dalam mudarat yang tidak disangka-sangka..
[sM]

pokok ini takkan pernah kisah
jika tak ada yang menghargainya
kerana dia punya cinta dari Tuhan
yang senantiasa menjaganya
begitu juga kita..
andai kita merasa diri hodoh seperti bibik hitam sekalipun,
janganlah merasa marah
bila mana ada yang memandang sinis lagi enteng pada kita
cukup Cinta dariNya
lihat sepertinya pokok ini baru dicantas pula,
mungkin setahun lagi
bila kau pergi berjumpanya
dia sudah berdaun lebat
boleh sahaja jadi ada dua tiga orang sedang mengais buahnya
[vB]

pokok
ketika hidupnya memberikan perlindungan
kepada yang di bawah naungannya
memberikan pernafasan kepada yang hidup
ketika matinya masih lagi bermanfaat
batangnya dijadikan perabot untuk kegunaan harian
jadilah seperti itu,
ketika hidup kita,
memanfaatkan mereka di sekeliling kita
ketika sudah meninggal,
meninggalkan ilmu-ilmu untuk dimanfaatkan oleh generasi mendatang..
[mHm]

Puisi yang telah dimurnikan. Terima kasih kepada penyumbang-penyumbang di Facebook. Lain kali kita buat kerjasama lagi, insya'ALLAH.

Pautan Rasa (7) / Read More

Monday, November 2, 2009 / Labels:

Lipur Lara Pemain Gasing

Hajat asal mahu bermain gasing dilupakan (Gambar ihsan: Kamal Zharif)

Gempar! Lagi sekali, entah untuk kali ke berapa, Bumi Meloya digemparkan oleh berita-berita terkini. Kali ini dengan penangkapan seorang ulama terkenal malah pernah menjadi orang kuat agama di Perlees. Ulama berkelulusan PhD ini dikatakan tidak punya tauliah untuk menyampaikan ajaran Yang Berkuasa. Jam 9 malam pihak berkuasa menyerbu banglo mewah yang nyata bukan surau dan bukan masjid di Taman Sri Ukaaay tetapi berlaku sedikit sesi berbalas pantun sebelum berjaya membawa ulama itu keluar. Tidaklah dapat didengar pantun yang dijual dan dibeli, tetapi diberitakan bermaksud mahu berunding dan mengetahui sebab musabab ulama itu mahu dibawa lari. Perwakilan jabatan agama sebuah negeri yang di dalamnya terletak Taman Sri Ukaaay itu, tidak lain tidak bukan, ustazlah juga, Shaharum namanya. Ustaz Shaharum itu membeli pantun yang telah dijual seperti berikut bunyinya:

Datang kami bukan sembarangan,
Tiada hujan, guruh pun tiada,
Angin menderu menyampaikan,
Yang tak bertauliah sedang beraja. (Pantun tak bertauliah ini ditaja oleh Nestele)

Diceritakan juga ustaz ini bersungguh-sungguh mahu melarikan ulama sampaikan kalau ada yang keberatan mahu melepaskan, akan dilarikan bersama-sama. Setelah hampir 3 jam berbalas pantun, maka pihak berkuasa yang kurang kuasanya daripada Yang Berkuasa telah menahan dan membawa ulama tersebut ke pusat sukan berdekatan untuk diajak bermain gasing. Sampai 1 pagi, barulah sang ulama dikembalikan dengan termeterai janji mahu berjumpa lagi lapan jam kemudian di gelanggang dalam negeri itu juga.

Ulama ini tiadalah suka membuat orang tertunggu-tunggu dan memungkiri janji walaupun orang yang membuat janji itulah yang menconteng namanya beberapa jam sebelum ini. Maka, datanglah ia pada waktunya ke gelanggang yang disebut-sebut tetapi sampai 1 tengahari ini tiada juga bayang orang yang ditunggu. Janji untuk bermain gasing sambil berbalas pantun tinggal janji. Ulama pun keluar gelanggang dan membawa diri berjumpa orang kuat agama Bumi Meloya di sebuah hotel terkemuka.

Tidaklah diketahui apa kisahnya selepas itu. Adapun, kisah yang menggemparkan ini tidak lain tidak bukan untuk membawa pembaca semua berfikir bersama-sama, jauhnya pembodohan ulama berlaku di Bumi Meloya. Tidak cukup dengan isu purdah yang telah diputar-belitkan tidak berapa lama dahulu, baru-baru ini isu pasukan ulama di salah sebuah negeri yang indahnya seperti berada di Aceh pada zaman Serambi Makkah mahu berpesta pantun kerana ada keris di dalam pasukan (disebut orang keris dalaman), dan pagi ini isu ulama (lagi) diperkotak-katikkan.

Apa nak jadi agaknya?

Pautan Rasa (4) / Read More

Friday, October 30, 2009 / Labels:

Falsampah

Oleh Serunai Faqir

LALAT. Langau. Lipas. Lipan. Semuanya menyeronot di dalam timbunan sampah yang kian menggunung di medan persampahan itu. Pemandangannya sahaja mampu membunuh jelira sesiapa yang melintasinya atau setidak-tidaknya lewat angin petang yang mengirim aromanya di mana sahaja ia mencecah. Tiada siapa yang mahu larut dalam kebusukan sampah itu, kecuali beberapa manusia yang sudah lama menggunakan sampah sebagai medium untuk kesinambungan dompetnya. Dengan tenang mereka berbaring di atas tilam sampah yang lembut, kata mereka seperti tilam di rumah pak menteri.

“Apa sudahnya kita ini Sarip?”

“Sudahnya kita beginilah,” jawab Sarip acuh tak acuh. Dia tahu pertanyaan itu bukanlah pertama kali disodorkan kepadanya. Entah dia sendiri tidak ingat, mungkin jutaan kali.

“Hanya orang seperti kita sahaja yang mengenal makna sampah. Setiap satu sampah punya bau kejahatannya yang tersendiri. Setiap sampah punya warna pelangi di sisi para marhaen. Setiap sampah tersimpan sejarah dan makna budaya yang tinggi nilainya. Dan tentunya setiap sampah adalah tetap sampah di sepanjang perjalanan menuju kejayaan.” Lensa pandangan Dol tidak berkelip, kali ini dia cuba menghitung bintang yang bertaburan di langit.

“Cukuplah, Dol. Apa lagi guna sampah kalau sudah terbuang? Kau bilanglah sejuta makna dan selaut falsafah, sampah tetap sampah. Seperti juga kita, orang anggap kita seperti sampah sahaja.” Sarip terkuap-kuap. Matanya sudah hampir terkatup ketika mengucapkan perkataan terakhirnya.

“Tapi kita bukan sampah masyarakat…” Nada Dol tegas sekali.

Orang seperti Dol ramai sekali apabila ekonomi mengalami demam H1N1 yang tidak kebah. Tapi Dol bukan orang sembarangan. Dahulu, dia seorang ternama dan kaya-raya. Punya segala yang manusia lain mahukan di atas dunia ini. Sarip senyum sendiri memikirkan dirinya juga dibuang kerja ketika zaman ekonomi melecet. Melecet, bukan meleset.

Jeda memanggung waktu. Dol tidak menghiraukan kata-kata temannya. Baginya kata-kata itu bagaikan sampah dan habuk yang tidak membawa sebarang maksud dan pengertian. Orang-orang seperti Sarip hanya melihat sampah dari sudut luaran. Bagi Dol, sampah itu ada rohnya yang tersendiri untuk dinikmati.

“Kau tahu Sarip.”

“Hmmm … apa dia lagi?”

“Dari sampah yang bertaburan ini, kita boleh mengenal taraf ekonomi rakyat Malaysia,” ujar Dol tersenyum, yakin dengan apa yang diperkatakannya. Di atas timbunan sampah itu, Dol berdiri bagaikan patung tugu pahlawan. Wajahnya penuh patriotik. Tiba-tiba dia tegak menyanyikan lagu Negaraku. Sarip terpaksa berdiri sama demi menghormati lagu Negaraku. Walaupun hanya seorang pemungut sampah, tapi hatinya berkobar semangat cintakan negara. Tidak sesekali dia akan menjual maruah negaranya hanya kerana seorang pemungut sampah.

“Cuba kau tengok sampah di sekeliling kita, cuba kau amati kotak-kotak, plastik dan kertas-kertas. Daripada itu sahaja aku sudah mampu menelah kemampuan ekonomi rakyat Malaysia masih lagi baik. Tengok, tengok.” Dol menoleh ke arah kiri.

“Itu, itu. kotak-kotak burger luar negara, kotak-kotak ayam goreng orang putih, kotak-kotak pizza. Menurut skala indeks di bursa saham persampahan, ia menunjukkan ekonomi rakyat Malaysia semakin mantap, mampu membeli barangan luar negara. Mampu untuk berbelanja dengan mewah, ketepikan nasi lemak atau nasi dagang yang enak dan mampu memberikan zat yang cukup serta beralih kepada makanan luar yang mengarut. Dan tentunya mereka ini terdiri orang-orang yang kurang patriotik terhadap negaranya.” Kotak-kotak sampah itu dikais-kaisnya. Sesekali matanya liar memandang keliling.

Sarip terkuap-kuap. Dia hanya memerhatikan sahaja rakannya yang semakin melalut. Semakin malam, semakin melalut, bisik hatinya.

“Berapa kerat sahaja rakyat Malaysia yang bersikap sederhana dalam membeli barangan dan sekaligus bersikap patriotik. Tak ramai, tak ramai. Hanya inilah golongan yang benar-benar patriotik dan cinta negaranya.”

“Bagaimana pula kau lebih tahu daripada aku?” Tiba-tiba Dol jadi semangat apabila ditiupkan semangat patriotik. Walaupun hembusannya lembut tapi berkesan. Dol tak perlu naik dan kibar bendera merata-rata kalau masih lagi makan di kedai sang imperialis atau memandu kereta buatan orang Yahudi.

“Kau tengok.” Dol menghulurkan bungkusan nasi lemak kepada Sarip. Kelihatan saki baki sambal nasi lemak berbekas di kertas. “Orang yang patriotik tetap akan makan nasi lemak, itu … itu … kertas bungkus nasi lemak, bekas polisterin lauk rendang. Haaa … begitu kaedahnya Sarip. Bukan patriotik di mulut sahaja tetapi juga di lidah, tekak, perut pun mesti juga.”

Baring

“Apa-apa sahajalah Dol,” jawab Sarip, dari baring dia duduk. Memerhatikan sekeliling. Memerhatikan kebenaran kata-kata temannya walaupun dia tidak pernah ambil peduli semua itu. Yang penting adalah perutnya perlu diisi agar tidak berkeroncong sewenang-senangnya berbunyi tak tentu masa dan keadaan.

Dan bintang masih tersangkut di dada langit. Bulan masih bersinar megah, kerana ia tahu bahawa ada manusia yang masih punya fikir walaupun skru kewarasan otak manusia semakin longgar. Tapi tak semua yang longgar. Fikiran kebanyakannya di bawah tapak kaki. Kalau tidak masakan golongan sepertinya masih wujud lagi di sini.

“Dalam mengaji kita mengkaji Sarip,” ujar Dol perlahan. Dia mengusap kepalanya, fikirannya berputar mencari jawapan yang tak pasti. Perlahan dia duduk di sebelah Sarip. Sehelai kertas putih bertulis tangan dibacanya.

“Manusia sudah tidak sayang ilmu. Kertas-kertas ini walaupun hanya bertindak sebagai medium untuk menyampaikan ilmu tapi ini sahajalah taraf dan kedudukan yang mampu dicapai - di timbunan sampah layaknya,” gumam Dol.

“Bermakna apabila rapuhnya kecintaan terhadap ilmu, maka rapuh jugalah ikatan di antara masyrakat. Antara bangsa, antara ibu bapa dan anak, antara suami dan isteri, antara guru dan murid. Semuanya berantakan.” Sambungnya lagi. Dol terdiam untuk seketika. Rumah tangganya juga kacau bilau dek kerana dibuang kerja. Duit tiada, anak sakit. Kerja payah dapat, bini melompat! Akhirnya dia berkawan dengan sampah-sampah yang lebih mengerti perasaannya.

Sarip sudah berdengkur. Tak larat mendengar ocehan temannya yang kuat benar berfalsafah. Baginya mudah, kerja cari duit untuk esok. Perut mesti diisi, tekak jangan kering, mulut mesti berasap. Mudah, mudah sahaja hidup ini. Yang jadi susah apabila ada manusia yang menyusahkan hidup orang lain dengan nafsunya yang tamak dan rakus. Itulah yang menyusahkan semua orang atas muka bumi ini.

Dol memandang ke arah Sarip, kemudian melontarkan lensa pandangannya ke rahang malam yang semakin rakus menelan cahaya. Kegelapan sudah berkerajaan. Lalat, langau, lipas dan lipan masih bersepah di atas tilam sampah yang akan diladeni sebentar lagi.

Dalam lena itu, Sarip merasakan bahawa dirinya sudah melangkaui alam yang sepatutnya.. Di sana dia berjumpa dengan seorang budak kecil (memang klise - kalau mimpi mesti jumpa orang tua berjanggut dan berjubah putih tapi ini lain) yang comel dan manja sekali riak wajahnya. Dia menghulurkan tangannya, Sarip menyambut.

“Tangan abang kasar.” Budak kecil itu tersenyum.

“Mana tak kasarnya, kerja kutip sampah. Tangan selalu kotor dan selalu kena basuh. Pegang benda-benda kotor dik.” Sarip senang sekali dengan budak itu. Dalam fikirannya teringat anak Dol yang seusia dengan budak yang tercokoh di hadapannya.

“Tak mengapa abang, walaupun kerja kotor tapi duitnya bersih. Jangan kerja bersih tapi duitnya kotor. Kerja kotor begini, kalau basuh dia boleh bersih. Kerja bersih yang kotor kalau basuh orang lain yang kena. Tapi, paling penting hati mesti bersih.”

Sarip senyum. Terpikat dengan keletah dan perkataan yang diujarkan.

“Kenapa adik cakap begitu? Adik tak tahukah berapa ramai yang menghina pekerjaan abang? Saudara mara semua lari, kawan-kawan apatah lagi. Kata mereka lagi, kerja busuk dan hina sama macam sampah yang ada di tempat abang.”

Budak kecil itu ketawa lalu menghela tangan Sarip. Mereka terbang. Terbang ke dalam kegelapan malam. Terbang di atas awan biru. Angin sejuk menampar pipinya. Sarip terasa bahagia. Tiba-tiba tangannya dilepaskan. Serta merta anganan Sarip meluncur ke bumi. Segala mewah kasih dan bahagia impian akan terhempas sedikit masa lagi. Tiba-tiba …

Masa terhenti. Semua menjadi kaku, menjadi beku.

“Apa ada dengan kekayaan dan kebahagiaan kalau terhasil dari tangan-tangan yang berdanur? Ibarat kaca terhempas ke tanah, itulah umpamanya. Jatuh berkecai dan akhirnya. Biarlah kerja kotor tapi halal dan bersih.

Sarip tidak bergerak, tubuhnya seakan hancur. Menjadi berkeping-keping. Halus dan akhirnya menjadi lumat. Tubuhnya bagaikan terapung dan terawang-awang seperti zarah-zarah halus yang melewati terowong cahaya. Sarip masih hidup, dia merasakan itu, namun dia tiada daya upaya untuk bergerak atau berkata walau sepatah.

Budak kecil itu menarik semula zarah-zarah halus (jasad) Sarip dan melemparkan ke udara. Sekali lagi tubuh yang bersifat halus menjadi zat dan jasad yang kasar. Jatuh berdebup di atas tanah. Kali ini kesakitan menjalar ke seluruh tubuhnya. Ada darah mengalir siku dan lututnya.

“Apa semua ini?” Sarip menyeringai kesakitan.

“Itulah perasaan yang bernama kesakitan, kebencian, kemarahan, kekecewaan, kehampaan dan, dan itulah yang telah kau berikan sewaktu menduduki kerusi empuk di pejabat berhawa dingin.”

Menitis

Sarip memandang ke arah Dol. Hanya dengkur dan embun pagi sahaja menitis. Suara lalat, langau, lipas dan lipan bagaikan tertangkap oleh telinganya. Semuanya berzikir, mengucap syukur kerana dalam laut sampah itu ada rezeki mereka.

Mereka lebih faham segenap inci, ruang, sudut dan bau sampah yang bertimbun itu. Sarip berdiri memerhatikan mereka. Sesekali matanya tertancap pada barisan semut gula yang bekerja keras mencari rezeki. Dol terjaga, pandangan mereka saling bertikam dan akhirnya Dol menukar lensa pandangannya ke hadapan.

“Dalam sampah ini ada rezeki kita, Sarip.”

Sarip mengangguk.

“Ada apa lagi dalam sampah ini, Dol?"

Dol menoleh ke arahnya, hairan. Mungkin selama ini Sarip menganggap dirinya sewel kerana bercakap soal sampah, tapi dia tidak pernah ambil pusing. Tapi memang Dol tahu dalam sampah ada macam-macam. Dan dalam macam-macam itu juga ada sampah.

Walaupun zahirnya seperti sehelai kain putih yang mulia dan mulus di pandangan ramai, namun Dol tahu bahawa di hati mereka, bertaburan sampah-sampah dan segala macam habuk. Gelap-gelita hati mereka. Memandang dengan pandangan manusia. Berkata dengan perkataan manusia. Bermegah dengan kemegahan manusia.

Ah persetankan itu semua, Dol membentak dalam hati.

“Kalau kau nak tahu, Sarip. Apa kemuliaan dalam timbunan sampah yang melaut ini? Ini yang manusia tidak pernah mahu ambil tahu dan tidak tahu pun apa yang ada pada kita dan sampah-sampah yang berselerakan ini.” Dol memulakan lagi syarahannya seperti biasa.

“Dalam persampahan ini, kau dan aku dan kita dengan sampah. Siapa yang lebih memerlukan siapa? Adakah kita memerlukan sampah untuk terus hidup. Atau bagaimana? Sampahkah yang memerlukan kita untuk terus berada di sini. Kalau tanpa manusia, sampah-sampah ini bergolekan di merata tempat tanpa ada pembelaan? Bagaimana?”

Sarip termenung dengan persoalannya. Ceritanya cuma sampah. Semuanya sampah. Dalam sampah ada sampah - itu bagi mata manusia yang melihat tetapi tidak merenung. Tapi bagi yang merenung dan menilik, dalam sampah ada kesucian yang tak terungkap. Sucinya sampah-sampah itulah yang telah menyebabkan ribuan manusia, haiwan, kuman-kuman terus hidup di atas muka bumi ini. Dan sampah yang paling mulia juga adalah sampah yang telah diproses lalu berkhidmat untuk manusia.

“Jadi sampah itulah yang lebih mulia dari manusia. Sarip kau tengok kotak-kotak makanan, minuman, pakaian - itukan diperbuat dari sampah-sampah yang kita kutip. Dan pesanan yang paling menusuk hati aku adalah ketika pertama kali aku menjual sampah dan kotak. Kata tauke itu begini, ‘bagus orang Melayu sudah tidak malu menjual sampah.’ Muka aku merah, namun aku menjawab, ‘duit itu kan tidak busuk.’ Ya, sejak itu, aku tidak pernah malu menjadi seorang Melayu yang menjual sampah dan kotak.” Dol menghela nafas. Mengenang kembali pertemuan pertamanya dengan sang tauke.

Sarip terus mendiamkan diri. Kata-kata Dol itu banyak kebenarannya. Sejak ekonomi merudum. Sejak kegawatan akhlak merudum. Sejak perpecahan antara perhubungan kekeluargaan, masyarakat dan bangsa, hanya sampah menjadi lambang penyatuan kepada itu semua.

Statusnya sampah tapi maksudnya sampah-sampah di sini bersatu tidak mengira dari rumah siapakah sampah itu berasal. Saling berasak dalam lori sampah yang mengangkut lalu menjadikan tempat ini sebagai tempat untuk menyatukan maksud dan maknawi. Jangan jadikan perpaduan itu seperti sampah, tapi jadikanlah sampah itu umpama lambang perpaduan.

Sarip terhenyak dengan persoalan-persoalan yang menghunjam benaknya. “Sampah, ya sampah.”

“Ya, sampah,” sahut Dol.

“Hidup sampah!" jerit mereka berdua. Dan kita juga adalah sampah-sampah dan sampah-sampah juga adalah kita, fikir Sarip.

Sumber: Utusan Malaysia

Pautan Rasa (2) / Read More

Thursday, October 29, 2009 / Labels:

Syafakallah

Panas. Entah kenapa sudah empat hari, demam masih tidak kebah. Syazana yang berada di depan bilik pun sudah mula risau. Mak sudah menelefon lebih kerap daripada selalunya. Sahabat-sahabat mula bertanya khabar. Tidak kurang yang mendoakan agar cepat sembuh. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Segala puji bagi ALLAH yang mengurniakan nikmat persahabatan. Dalam kiffarah untuk mengampunkan dosa, dihujani rasa indah ukhwah persahabatan.

Ingin ana petik mesej-mesej dari sahabat di laman sosial Facebook hampir jam 12 malam tadi;

Nurul Syakina Bt Malek:
akak sakit apa?..moga cepat sembuh..

Syazana Azahar:
sian akak ana sorg ni.. Mga akak cepat sembuh=)

Mohamad Fadhlul Wafi:
bykkn doa drpd kesian sbb tkut2 mnjdikan belati x berkilau @ mnja..

Asmah Andy:
bgs2...jgn lupa makan ubat...jgn mcm sy, mmg xsuka mkn ubat...sakit pn xnak mkn ubat...tp xpa, skrg dh makin sihat...=) alhamdulillah...

Noor Aimran Samsudin:
smoga smbuh.. :)

Khairina 'Izzati:
smga cpt smbuh kak!

Mohd Hafizul Hilmi:
ada 1 tip.. jgn mkn ubat!

Muhammad Hafiz Bin Muhamad:
insyaAllah mesyuarat AJK PAS PUSAT tamat pukul 12 tengah malam... (owh, yang ni tiada kaitan)

Hendri As-sandaki:
Pkul 12.8 mint, hari smlam da berlalu, smoga hr ni diberi kekuatan dan kesihatan smula..

Amalina Mazlan:
akak da tdo ea..?bgos2....d efek of mdicine...

Wan Darimi:
makan ubat melecehkan...xyah makan..xsuka ubt la...tahan je..

Dan mesej-mesej sahabat juga di laman sosial Facebook sepeninggalan ana dua jam sebelum ini;

Hendri As-sandaki:
ALLAH sedang berbicara..

Nur Hanis Binti Ahmad:
demam ke sunah?
isk isk.. >_<
minum air masak banyak2 ye..

Amalina Mazlan:
sedang menghapus dosa....sabar ye akak...

Nurul Alia:
dgn redha dpt mhapus dosa..tensen slh satu faktor pnyakit dtg smsa peperiksaan..

Nurul 'Uyun Ahmad:
get well soon....^^

Mohamad Fadhlul Wafi:
mkn ubat byk2...eboh ekot glak tyme ya...

Terbaca post seorang sahabat yang juga sedang diuji, daripada Abu Said al-Khudri r.a., dan Abu Hurairah r.a., Nabi saw bersabda: "Tidak menimpa seseorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya." [HR Bukhari dan Muslim]

Jazakallahu khairan kathira. Insya'ALLAH dengan doa-doa antum, ana akan sembuh tidak kira bila masanya. Semoga persahabatan ini diberkati ALLAH hingga ke syurgaNYA. Ameen.

Pautan Rasa (1) / Read More

Sunday, October 25, 2009 / Labels:

"1Malaysia, Kemakmuran Bersama"

"1Malaysia, Kemakmuran Bersama", tema ini menari-nari dalam kotak fikir setelah membaca sekali lalu Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Y.A.B Perdana Menteri pada Jumaat lalu. Tidak banyak yang ingin ana kongsikan di sini kerana ana pasti mahasiswa yang cakna sekalian sudah sedia maklum tentang bajet tersebut, terutamanya dalam aspek pembangunan pendidikan.

Pembangunan Modal Insan

Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pembangunan secara holistik dan mapan, bidang pendidikan dilihat sebagai medium untuk menghasilkan modal insan berkualiti tinggi. Maka telah dimuatkan dalam Bajet 2010 segala usaha kerajaan untuk membangunkan institusi pendidikan dari tadika hingga ke pengajian tinggi.

Peruntukan lebih RM30 bilion disediakan untuk pendidikan rendah dan menengah, antaranya, untuk bantuan pelajar dan biasiswa, pembinaan 80 buah sekolah baru sekolah kebangsaan rendah dan menengah, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah mubaligh. Malah, diperuntukkan RM1.1 billion pula untuk mengubahsuai dan menaik taraf sekolah di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. (Utusan Malaysia)

Tidak cukup dengan itu, di peringkat pengajian tinggi pula, mahasiswa yang mengambil Ijazah Sarjana Muda dan menggunakan PTPTN boleh berusaha untuk bergraduasi dengan Kelas Pertama jika mahu PTPTN ditukarkan kepada biasiswa mulai tahun 2010. Pakej notebook termasuk perkhidmatan broadband percuma bakal diberikan kepada mahasiswa universiti tahun pertama dengan bayaran RM50 ringgit sebulan untuk 2 tahun manakala 30 pelajar terbaik berasaskan merit akan ditawarkan biasiswa nasional untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka di dunia. (The Malaysian Insider)

Malah, Pengetua dan Guru Besar sekolah juga tidak terkecuali. Media The Malaysian Insider melaporkan, "The prime minister said the government would also introduce the New Deal or Bai’ah as an appreciation of the contribution and performance of principals and head teachers to ensure schools were managed and administered professionally." Sekiranya sasaran dicapai, ganjaran berbentuk kewangan dan bukan kewangan serta autonomi dalam mentadbir sekolah akan diberikan, tetapi kegagalan pihak Pengetua dan Guru Besar sekolah untuk mencapai sasaran selama 2 tahun berturut-turut akan diberikan perhatian dan diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan. (Ucapan Bajet 2010, 66)

Peranan 'Students'

Segala macam usaha yang dirancang oleh kerajaan ini dilihat benar-benar ingin membantu dalam menghasilkan intelektual negara. Namun, ingin dinasihatkan kepada pelajar, bakal mahasiswa, mahasiswa, dan bakal graduan di luar sana, segala usaha yang dirancang ini tidak seharusnya disia-siakan, tetapi digunakan dengan sebaiknya kerana pembangunan ini melibatkan begitu banyak wang ringgit (baca: wang rakyat). Tidak seharusnya hati melonjak suka tanpa memikirkan usaha ke arah merealisasikan matlamat kerajaan. Dalam era kenaikan taraf hidup ini, 'students' (bagi mewakili semua yang disenaraikan di atas) sudah cukup bertuah berbanding era sebelum ini di mana begitu sukar untuk mendapatkan sebuah laptop secara percuma, malah kemudahan internet yang seakan-akan biskut 'Chipsmore' sentiasa merunsingkan mahasiswa universiti yang bergelumang dengan tesis dan projek tahun akhir.

'Students' Sabah dan Sarawak di kawasan pedalaman pula tentunya sudah lama menunggu pembangunan di sekolah masing-masing. Pembangunan infrastruktur yang bakal dinaiktaraf diharapkan selari dengan pembangunan sahsiah dan kefahaman tentang kehidupan malah kefahaman tentang Islam!


Sedarlah!

Sedarlah wahai yang mentadbir negara, rakyat di Sabah dan Sarawak sangat memerlukan kefahaman tentang Islam! Memang ada dalam Bajet 2010 diperuntukkan untuk pembangunan sekolah agama bantuan kerajaan, namun diharapkan agar nilai-nilai Islam itu diterapkan dalam masyarakat Muslim di dua negeri ini dengan lebih praktikal kerana tidak semua rakyat di sini berpeluang untuk mendapat pendidikan agama. Kita tidak mahu kes Gadis Penan terus menghantui rakyat Sarawak di kawasan pedalaman yang sememangnya kurang mendapat perhatian dalam perancangan pembangunan sejak Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 16 September 1963 yang lalu.

Sebagaimana dimaklumkan di dalam Bajet 2010, program PERMATA akan dipergiatkan lagi dan ana harapkan Sabah dan Sarawak tidak tersisih daripada perlaksanaan program ini memandangkan objektifnya adalah untuk membentuk generasi berilmu dan bertanggungjawab, serta mengelakkan mereka terlibat dengan gejala sosial. Diharapkan agar pembangunan kerohanian dan sahsiah ditekankan dalam perjalanan untuk membangunkan modal insan berkualiti yang dicanang-canangkan.

Akhirul kalam, ana mendoakan agar apa yang dirancang boleh direalisasikan dengan sebaiknya, dan perancangan ini adalah yang terbaik menurutNYA.

Perancangan sudah mantap.

Rakyat sedang menunggu.

Sudah tiba masanya untuk perlaksanaan.

Wallahua'lam.



Pautan Rasa (5) / Read More

Tuesday, October 20, 2009 / Labels:

Jatuh Cinta!

Salam.

"Baru je nak jatuh cinta???"

"Taklah, dah lama...cuma baru-baru ni je cinta semakin membuak-buak."

Oh, cinta kepada apakah??

Ya, ana jatuh cinta kepada karya Faisal Tehrani. Baru tengahari tadi, membawa pulang 3 buah karya beliau dari MPH JJ Taman Universiti.

Bukan baru, tetapi sudah lama, cuma baru hari ini dilimpahkan rezeki untuk memiliki. Sebenarnya pada asalnya ingin mencari Revolusi Yang Tertangguh (Shahnon Ahmad), tetapi tidak berjumpa. Lain yang dicari, lain pula yang ditemui, namun hati tetap mengucap syukur.

Makin bertambah pula bahagian rak yang dah dikurangkan kapasitinya cuti hari raya yang lepas.

Pautan Rasa (10) / Read More

Sunday, October 18, 2009 / Labels:

Doakan Beliau di Stesyen Muhasabah

Salam mahasiswa. Tengahari ini, warga 4 SET baru sahaja menjenguk pensyarah kesayangan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Dr. Nor Hisham Hj. Khamis telah dimasukkan ke wad kerana buah pinggang beliau berhenti berfungsi seketika beberapa hari lepas setelah disyaki gastrik pada awalnya. Beliau ditemani isteri dan sedang dirawat di Kelas 1 Wad 21. Biarpun kelihatan agak lemah dan lesu semasa kami tiba, beliau tetap tersenyum dan sempat berpesan agar kami menyiapkan laporan lawatan industri ke Stesyen Satelit Bumi di Kuantan pada hari Khamis yang lalu. Ana mohon jasa baik semua supaya mendoakan beliau agar cepat sembuh seperti sediakala.


Dr. Nor Hisham merupakan pensyarah Antenna & Propagation untuk mahasiswa 4 SET sesi 2009.

Pautan Rasa (0) / Read More

Saturday, October 17, 2009 / Labels:

Kementerian Benar Sudut Pidato Diwujudkan di IPT

Oleh Norliza Abdullah

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi membenarkan sudut pidato atau Speaker's Corner diperkenalkan semula di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengasah bakat pengucapan umum berkesan di kalangan warga kampus.

Dato' Saifuddin Abdullah

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata aktiviti yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa itu sebelum ini dihentikan berikutan pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Sambil menjelaskan aktiviti itu boleh diperkenalkan semula setelah AUKU dipinda Februari lalu, beliau berkata, sudut itu memberi pelajar peluang menyuarakan pendapat menerusi pidato umum yang dinanti-nantikan warga kampus.

“Kementerian memberi peluang pelajar berkongsi pengetahuan dengan mengemukakan isu dan topik bernas untuk dikongsi bersama, selain dapat memperkemaskan sistem pengurusan sedia ada dalam usaha memartabatkan IPT.

“Mahasiswa adalah golongan pencetus minda positif dan idea membina dalam membangunkan komuniti kampus serta masyarakat sekeliling,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri 2009 Peringkat Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Antarabangsa dan pelancaran Tabung Kemanusiaan Gempa Sumatera, di Kuala Lumpur, kelmarin.

Saifuddin berkata, pelajar bebas berpidato dengan mengemukakan isu semasa, antaranya politik, ekonomi dan sosial selain pandangan serta kritikan bernas dalam memperkasakan pentadbiran IPT dan negara.

“Kami lebih liberal dalam hal ini kerana yakin pelajar mempunyai wawasan dan pandangan jelas mengenai setiap topik dan isu yang akan mereka kemukakan.

“Usaha ini adalah antara langkah kementerian lakukan bagi melahirkan pelajar serba boleh dan mempunyai semangat juang tinggi,” katanya.

Mengimbau kembali kegemilangan sudut pidato di IPT sekitar 1960-an hingga 1970, katanya, pemimpin pelajar ketika itu di kalangan mereka yang petah berpidato dan mempunyai idea bernas untuk dikongsi bersama.

Beliau berkata, pemimpin kampus juga mempunyai pengikutnya yang berpengaruh dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, hasilnya negara mempunyai pemimpin yang berani dengan semangat juang tinggi.

“Ramai pemimpin negara hari ini lahir di kalangan pemidato yang bernas mindanya ketika di kampus dan kini menjadi tokoh disegani,” katanya.

Mengulas kemungkinan kelonggaran itu menyebabkan pelajar menjadi alat pihak tertentu menyalurkan dakyah politik mereka, Saifuddin berkata, warga kampus golongan berpelajaran.

Katanya, mahasiswa tidak terpengaruh dengan anasir negatif yang cuba mempengaruhi mereka kerana masing-masing berfikiran matang, manakala topik perbincangan pula dikupas secara rasional sesuai tahap pendidikan.

Sumber: Berita Harian

Pautan Rasa (0) / Read More

Monday, October 12, 2009 / Labels:

Bulan Sahaja Berbahasa, Kita?


OKTOBER ini diisytiharkan oleh kerajaan Malaysia sebagai bulan bahasa kebangsaan. Tahukah saudara Oktober ini bulan bahasa? Jawabnya, sebahagian besar dari kita - tidak tahu.

Mengapa? Saya akan beritahu mengapa, tetapi sebelum itu marilah kita memahami dahulu apa gerangannya bulan bahasa itu.

Ekoran keputusan kerajaan untuk menobatkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, maka semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan pun diarah untuk melaksanakan manca program bahasa sepanjang bulan ini. Arahan itu datangnya daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi arahan ini bukan main-main sifatnya.

Apa yang moleknya pada bulan bahasa? Moleknya terletak pada usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran seluruh masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai satu bahasa atau 1bahasa untuk mencapai perpaduan serta bahasa komunikasi.

Oleh kerana itu menurut Timbalan Perdana Menteri lagi, kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan dirancakkan lagi sepanjang bulan ini (Oktober) supaya penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat akan melata.

Sejajar dengan menumbuhkan minat menggunakan bahasa kebangsaan itu, maka kerajaan juga akan mulai memperkenalkan Anugerah Tokoh Ilmuwan Negara iaitu sebagai satu pengiktirafan kepada ilmuwan negara yang memberikan komitmen dalam usaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa kemajuan dan bahasa budaya tinggi. Maka bolehlah orang GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka dan persatuan-persatuan penulis melobi mulai sekarang.

Kalau mengidam anugerah tetapi tidak melobi tentu tidak menjadi. Saya bukan perli tetapi ini memanglah realiti, malah saya sudah dapat mengagak dari sekarang siapa yang akan menyandang anugerah tersebut buat kali pertama (kalau dia masih hidup dan panjang umur sampai tahun depan). Tetapi biarlah tekaan tersebut saya simpan dalam hati sahaja dulu.

Yang paling muluk tentang bulan bahasa ini ialah keyakinan Tan Sri Muhyiddin terhadap keupayaan Bahasa Malaysia/Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Paling kecil, beliau telah memansuhkan PPSMI (walaupun sebenarnya lambat lagi nak menjadi gara-gara ‘soft landing’) kerana keyakinan kepada sistem pendidikan mestilah berteraskan bahasa kebangsaan.

Ketika merasmikan bulan bahasa, Tan Sri Muhyiddin di Kuching, beliau bermadah yang, "Persepsi bahawa bahasa kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan merupakan tanggapan yang meleset."

Sebenarnya, ramai tidak tahu bulan ini bulan bahasa kebangsaan. Justeru usaha kerajaan tadi bolehlah dianggap kurang berkesan. Malah meleset.

Begini, hari ini sudah 8 Oktober, saya meragui yang bulan ini akan dipenuhi dengan aktiviti kebahasaan di agensi kerajaan mahupun di pelbagai kementerian. Birokrasilah katakan. Macamlah ada perancangan dalam badan kerajaan yang dapat dibuat ‘sekelip mata’. Di peringkat swasta, jangan harap langsunglah.

Ragu saya itu semakin berasas kerana selama ini saya perhatikan tidak ramai menteri yang menyambut usaha dan upaya Timbalan Perdana Menteri untuk memartabatkan bahasa kebangsaan ini. Kalau bertutur mereka lebih selesa berbahasa Inggeris, termasuklah ‘yang satu itu’ (fahamkan siapa!).

Rasa semacam Tan Sri Muhyiddin bekerja seorang diri dalam menyemarakkan bahasa Melayu. Saya mahu rasanya menawar diri menolong beliau, tetapi iyalah…siapa saya! Nak mementaskan teater di Dewan Bahasa dan Pustaka dinafikan, jadi serba tak kena. Dan saya tiada kuasa lobi, justeru memang tak terpandang dek Timbalan Perdana Menteri.

Jadi memanglah Tan Sri Muhyiddin bekerja seorang-seorang diri. Kalau Tan Sri membaca kolum ini (atau pembantu khas, setiausaha sulit, setiausaha politiknya ada menatap bait-bait artikel ini – dengan tulus hati – saya nak tolong Tan Sri.)

Jadi saya kira yang berbahasa hanyalah bulan. Orang belum tentu berbahasa.
Mengapa orang tidak peduli bulan ini bulan bahasa?

Sebabnya mudah:
Semalam, saya sempat merewang di Sungei Wang untuk membelanjakan wang yang ada dalam poket. Saya terserempak dengan seorang peniaga menjual barang mainan, berbangsa Cina (macamlah ada bangsa lain di Sungei Wang) yang boleh bertutur dalam bahasa Arab meskipun berkarat dan tidaklah selaju air ibarat fasihnya dee-jay IKIM.FM, Mona Jasman.

Cukup dan memadailah bahasa Arab beliau itu untuk meraih minat seorang pelancong Arab yang bertubuh besar dan berjanggut panjang untuk membelikan anaknya helikopter dengan alat kawalannya sekali.
Setelah urus-niaga berjalan, saya pun bertanya kepada peniaga Cina tersebut bagaimana beliau boleh berbahasa Arab? Siapa yang mengajar? Susahkah mempelajarinya?

Beliau mendedahkan, ya, bukanlah rahsia, kerana wang semuanya jadi. Oleh kerana bahasa Arab sudah menjadi semacam bahasa yang penting untuk Cina itu berniaga maka dia harus boleh bercakap sepatah dua. Dan Cina itu memberitahu saya, ‘yang dia tak pandai berbahasa Melayu’ kerana sekolah tidak tinggi.

Saya pernah ke Beijing, di sebuah pusat membeli belah peniaga Cina tersebut boleh berbahasa Melayu, membilang angka dalam bahasa kebangsaan dengan baik sedangkan beliau bukan Cina Malaysia, bukan ahli parlimen (katakanlah DAP), beliau hanyalah peniaga langsir. Tetapi kerana ramainya pengunjung Melayu, mak cik-pak cik yang ditaja oleh Ketua Bahagian untuk jalan-jalan membeli belah di Beijing, mereka yakni peniaga Cina tersebut dengan sendiri berinisiatif untuk berbahasa Melayu.

Contoh klasik ialah peniaga Arab, Afghan dan Bangladesh di kota suci Mekah dan Madinah yang fasih berbahasa Melayu. Sebab apa? Sebab bahasa Melayu adalah bahasa jual beli dengan jemaah kita yang terkenal kaki joli.

Bahasa Melayu kalau hendak jadi bahasa kebangsaan yang gagah dan bermartabat, haruslah diberikan sisi komersialismenya. Jadikan ia bahasa perniagaan, bahasa jual-beli seperti mana di zaman Kesultanan Melayu Melaka lama dahulu.

Dengan itu nanti, bukan sahaja bulan bahasa akan menjadi laku; kedudukan aktiviti kebahasaan dan persuratan tak payah dibulankan, dengan sendiri akan rancak bersemarak. Orang akan mencari sendiri karya sastera kita, orang akan meluru membaca khazanah tradisi kita dalam bahasa Melayu. Dan dengan sendirinya bahasa kita akan dipandang bermaruah di mata dunia, di mata 1Dunia. Tidaklah kalau ke Paris untuk menjual nama negara kita kepada UNESCO akan bertutur dalam bahasa penjajah iaitu Inggeris (sedangkan orang Perancis haram hendak berbahasa Inggeris dan tetaplah pongpangpongpang berbahasa Perancis).

Soalnya, adakah komitmen politik sejauh itu?

Tan Sri Muhyiddinlah seorang diri.

Jadi, saya ragu. Bulan sahajalah yang berbahasa.

Manusianya, belum lagilah nampaknya.

Sumber: Faisal Tehrani at SuaraMalaysia.net

P/S: Jom kita bersama-sama memartabatkan Bahasa Kebangsaan, bukan di bulan ini sahaja, malah selepas ini, akan datang, dan bila-bila masa.

Pautan Rasa (0) / Read More

Sunday, October 11, 2009 / Labels:

Antara Purdah, e-Voting dan Hilal Asyraf

Salam mahasiswa. Alhamdulillah, tercetus di kotak fikir untuk berkongsi pelbagai cerita dengan pengunjung blog.

Baru-baru ini, dunia agak dikejutkan dengan isu purdah yang dibawa oleh media-media terkemuka tanah air. Purdah bakal DIHARAMKAN di al-Azhar??? Ana sendiri terkejut dan sangsi, mana mungkin seorang ulama seperti Syaikhul Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi boleh mengeluarkan kata-kata yang seakan-akan merendahkan martabat wanita Islam. Biarpun berpurdah adalah adat resam masyarakat Arab Badwi, tetapi untuk meletakkan Islam begitu rendah dengan kata-kata tidak menunjukkan bahawa beliaulah orangnya yang mengeluarkan kata-kata tersebut.

Sebelum ini, akhbar Malaysia telah mewar-warkan isu ini sehingga mencetuskan gosip panas di laman-laman blog, forum serta Facebook. Akhirnya alhamdulillah, ALLAH membuka mata hati ana untuk menilai kebenaran. Syukran buat insan-insan yang berkongsi. Rupa-rupanya seperti biasa, akhbar Malaysia mengeluarkan statement separuh jalan di dada-dada akhbar sedangkan perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Ikuti kupasan seorang mahasiswa al-Azhar yang berdepan sendiri dengan Syaikhul Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi di blog beliau.

Bukan setakat isu purdah, malah isu e-voting untuk pilihanraya kampus turut menjadi 'pisang goreng' di portal-portal maya. Pengunjung boleh baca sendiri melalui pautan-pautan berikut:

Bantah e-undi 'politik murahan' mahasiswa
Pro-M bantah e-undi di UUM
Khaled tak hormat hak mahasiswa
Countries with e-voting trials and pilot projects
e-Voting flawed

Apa-apapun, menurut pandangan ana sendiri yang mungkin akan dianggap 'politik murahan' juga (Kerana apa..? Sila sambungkan pembacaan antum), setakat ini ana masih tidak dapat mempercayai e-voting. Maaf, selagi tiada cara untuk meningkatkan kerahsiaan dan keselamatan, ana berada bersama-sama mereka yang membantah e-voting.

Selama beberapa hari ini juga ana mengikuti blog penulis muda, Hilal Asyraf. Pengisian yang menarik dan menggamit keinsafan. Penuh dengan peringatan kepada seorang hamba kepunyaan PENCIPTA. Wahai makhluk, sedarlah CINTA Teragung adalah CINTA ALLAH - CINTA TERATAS. CINTA ALLAH tidak akan membuatkan antum kecewa, insya'ALLAH. Ingin ana kongsikan tulisannya di sini.

Banyak lagi sebenarnya yang ingin dikongsi, tetapi cukuplah sekadar ini dahulu. Semoga sahabat-sahabat seperjuangan sekalian semakin GIAT menyiapkan assignment dan PSM di akhir-akhir semester ini. Berusahalah. Wassalam.

Pautan Rasa (2) / Read More

Wednesday, October 7, 2009 / Labels:

Misi Jihad Cinta

“Sayang, kita dah sampai.” Safiyyah menggosok mata yang masih kantuk. Tudung labuhnya yang agak senget dibetulkan suaminya.

“Tapi safiyyah kena janji dengan abang, walau apapun yang jadi lepas ni Safiyyah mesti redha.” Safiyyah mengerutkan dahi, pelik dengan kata-kata suaminya.

“Abang ni, dari tadi Safiyyah tanya kita nak kemana. Tapi abang tak jawab pun.”

“Kan abang nak bagi Safiyyah hadiah ulangtahun perkahwinan kita.”

“Tapi cara abang cakap tadi macam pelik je.”

“Nak kahwin lagi ya?”

Suaminya tergelak kecil. Lucu dengan pertanyaannya.

“Kalau betul kenapa?”

“Safiyyah tak kisah tau. Nanti Safiyyah dapat payung emas di syurga.”

Suaminya tersenyum. Isteri yang solehah. Moga dia menjadi bidadariku di syurga.

“Abang ni kenapa senyum-senyum ni?”

“Dah la. Lagi cepat kita masuk ke dalam lagi cepat Safiyyah dapat hadiah dari abang.”

“Okey..”

Dia membuka pintu kereta. Kereta hitam berkilat kepunyaan suaminya diparkir di tempat yang disediakan.

Di hadapannya tersergam sebuah bangunan canggih. Pintunya diperbuat daripada kaca yang dihiasi kalimah ‘Lailahaillallah… Muhamadurrasulullah..’.

Suaminya menggenggam erat tangannya, bagai tidak mahu dilepaskan.

****

Uwais memasukkan kad pintar kedalam ruang di tiang itu. Dengan pantas, lantai yang dipijak bergerak ke atas menuju ke tingkat 8. Usai sampai, dia menarik kembali kad pintarnya.

“Jom masuk sayang.”

Sekali lagi, dia memasukkan kad pintarnya ke dalam mesin pintu pejabat di hadapannya. Lantas terpapar namanya di atas skrin mesin itu. Beberapa minit kemudian, tertera perkataan ‘masuk’.

Dia memimpin tangan isterinya. Dengan yakin, dia memulas besi ringan yang terlekat di pintu pejabat itu.

Kelihatan seorang lelaki di dalam pejabat itu. Senyumannya mengisi ruang wajahnya. Seakan terpancar nur keimanan pada rautnya yang tenang.

“Selamat datang Uwais Al-Qarni. Hari ini kau menunaikan janjimu.”

Lelaki itu menekan remote di tangannya. Kerusi di hadapan meja kaca itu terbuka.

“Sila duduk..”

“Terima kasih.”

Kelihatan lelaki itu mencari sesuatu. Dia menyelongkar laci kaca yang terapung di atas, seperti kabinet kuno zaman 2008 yang diubah suai. Cantik. Gabungan seni lama dan baru.

“Isi maklumat diri dan zaujah. Err, siapa nama dia?”

“Nur Safiyyah binti Dr Tariq Ziyad.”

“Dr Tariq Ziyad? Macam biasa dengar. Subhanallah, kamu anak seorang pahlawan?”

Safiyyah hanya diam merendah diri.

“Bagus. Kamu menjejaki langkah ayahmu. Memang berdarah pahlawan.”

Uwais menekan-nekan skrin sensitif di hadapannya. Dia mengisi maklumat dirinya dan Safiyyah.

Safiyyah memerhati.

MISI JIHAD CINTA

Nama Mujahid : Uwais Al-Qarni bin Ammar
Nama Mujahidah : Nur Safiyyah binti Tariq Ziyad

Dan banyak lagi butiran yang diisi suaminya..

Hati Safiyyah berbunga riang. Inikah hadiah dari Uwais kepadanya? Subhanallah.. Ya Allah, aku syukur padaMu. Cita-citaku semakin dekat. Syahid menggoda rohku. Aroma syurga menggamitku.

Misi jihad cinta itu sudah lama diidam-idamkan. Peraduan Misi Jihad yang dimenanginya itu menjadi hadiah yang amat bernilai. Peraduan ini melayakkan pasangan suami isteri sama-sama berjihad di tempat yang akan di hantar oleh ejen. Hanya 20 pasangan yang mendapat tempat dalam masa setahun. Misi ini adalah peluang terbaik untuk mencapai pangkat syahid.

“Sayang, mana kad pintar? Butiran peribadi perlu disahkan.”

Safiyyah lantas mengeluarkan kad pintarnya dari beg tangan elektronik hadiah dari arwah ayahnya.

“Ni bang..”

Butiran peribadi mereka kemudiannya disahkan. Laptop kecil sebesar tapak tangan itu diserahkan kepada lelaki di hadapannya.

Lelaki itu menekan-nekan sesuatu. Kemudian dia tersenyum.

“Kamu berdua dihantar ke Kota Toledo.”

****

“Bang..”

Uwais mendongak. Raut indah milik isterinya direnung. Sinar keimanan yang terlakar menenangkannya.

“Ya?”

Safiyyah diam. Dia menunduk. Air jernih memenuhi kolam matanya.

“Kenapa ni? Safiyyah tak suka ya hadiah ni?”

“Abang.. Apa ni.. Bukankah itu yang kita tunggu-tunggu selama ni?”

“Habis tu.. Kenapa menangis?”

“Safiyyah tak sabar nak pergi sana. Lagi 2 hari kan bang..”

“Ya,abang pun tak sabar dah. Semakin dekat bau harum syurga..”

“Abang..”

“Ya?”

“Kita berjumpa lagi tak nanti di syurga?”

“Safiyyah sayang…”

“Ya bang..”

“Safiyyah nanti insyaAllah jadi Ainul Mardhiah abang di syurga. Jangan risau ya..”

“Safiyyah tak risau pasal tu. Safiyyah yakin kalau Safiyyah tak jadi bidadari abang pun, abang akan dapat bidadari yang lagi cantik dan solehah daripada Safiyyah.”

Kata-kata lembut isterinya membuatkan dia tersentuh. Subhanallah.. Aku sayang dia keranaMu ya Allah. Maka temukanlah kami di syurgaMu, jangan Kau pisahkan kami. Cukup hanya dia bidadari solehah yang telah kau sediakan untukku. Moga di dunia dan juga di syurga.

“Safiyyah.. Ingat tak dulu zaman kita sama-sama ditarbiyyah?”

“Ingat bang.. Masakan Safiyyah lupa. Taman yang mengajar Safiyyah erti perjuangan.”

“Dan abang tak sangka Allah pertemukan kita. Ingat tak dulu kita asyik bertengkar untuk capai kata putus dalam mesyuarat? Kelakarnya masa tu. Isteri abang ni petah betul berhujah. Sampai kadang-kadang buat abang geram.”

“Laa.. Abang juga pesan pada kami, kami kena jadi Muslimat Tarbiyyah. Muslimat yang kuat menongkah ujian, tabah menghadapi dugaan, pantas berfikir, berana membantah kebatilan. Kan?”

“Ya sayang. Muslimat masa tu semua kuat belaka. Abang tengok macam kering hati je.”

“Terpaksa la bang. Kalau kami tak jadi macam tu, habis la perjuangan. Asyik-asyik merajuk, menangis. Nanti tak jadi kerja pulak.”

“Ya, abang faham.”

“Abang tengok la buktinya. Dah 3 orang ahli syura muslimat kita yang dah kotakan janji. Dah dapat pangkat syahid. Safiyah yang terlambat bang..”

Safiyyah pilu, janjinya belum dikota lagi. Dia sedang menunggu saat kemanisan itu. Nanti akan dia capai tangan sahabat-sahabatnya di syurga nanti. Sahabat-sahabat, tunggu kedatanganku. Hatinya menyeru.

“Sabar la. Tak lama lagi..”

****

Di khemah persiapan, Kota Toledo.

Malam itu mereka tekun. Hati dan jiwa betul-betul diserahkan kepada Allah. Setiap saat dipenuhi dengan solat-solat sunat, berzikir dan alunan bacaan Al-Quran.

Di atas sejadah itu, Uwais memegang tangannya. Erat dan kemas. Tampak air matanya mengalir.

Safiyyah juga menangis hiba. Tiada kata yang mampu diungkap. Bukan airmata sedih yang sedang mengalir. Tetapi armata bahagia, bahagia kerana bakal menemui Rabbnya.

“Nur Safiyyah.. Terima kasih kerana menjadi isteri abang selama ini. Safiyyah isteri solehah abang. Selama setahun kita kahwin, tak pernah sekali pun Safiyyah sakiti hati abang. Safiyyah gigih berusaha menjadi yang terbaik.”

Esakan isterinya semakin kuat. Hatinya pedih dalam gembira.

“Safiyyah, Allah temukan kita dalam lapangan perjuangan. Dan kita berjanji akan hidup dalam lapangan ini selamanya. Matlamat kita jelas, hidup mulia atau mati syahid. Sekarang di hadapan kita peluang, Safiyyah kena serahkan pergantungan bulat-bulat pada Allah. Bila kita sama-sama jalankan misi itu nanti, Safiyyah kena ingat Allah banyak-banyak. Jangan fikir pasal abang lagi, tinggalkan dunia. Ingat syahid.”

“Abang sayang Safiyyah kerana Allah. Abang minta maaf sebab tak dapat nak beri Safiyyah apa-apa ganjaran selama Safiyyah berkorban jadi isteri abang..”

“Abang, Safiyyah tak minta apa-apa pun.”

“Kita jumpa di syurga ya.. InsyaAllah..”

Dahi isterinya dikucup lembut.

“Abang ada satu permintaan.”

“Apa dia bang?”

“Baju tu. Nanti Safiyyah kena pakaikan untuk abang.”

“Ya,InsyaAllah. Abang pun ya.”

“Ya,InsyaAllah.”

Safiyyah bangun menuju ke hujung khemah, dia mengambil 2 pasang baju putih yang tergantung di atas tali. Tertulis perkataan “Peserta Misi Jihad Cinta” di belakang baju putih milik suaminya. Di bahagian hadapan sebelah kiri, tercatat nama Uwais Al-Qarni dan di sebelah kiri terdapat bendera kecil tertulis kalimah agung Lailahaillallah Muhammadurrasulullah. Juga pada bajunya.

“Assalamualaikum.. Akh Uwais..”

Terdengar suara memberi salam. Safiyyah merenung lembut wajah suaminya.

“Waalaikumsalam.”

Uwais membuka pintu khemah.

“Akh, sekarang sudah tiba masa kalian. Seruan jihad sudah dipalu.”

“Baiklah. Terima kasih.”

Uwais menutup kembali pintu itu. Dia pusing menghadap isterinya.

“Sayang, dah tiba masanya.”

“Ya.”

Lantas baju jihad disarungkan ke tubuh. Usai keduanya bersiap, Uwais memandang isterinya.

“Kita jumpa di syurga ya.”

“InsyaAllah bang. Sekejap lagi kita bertemu semula.”

****

Boomm..
Boommmm..
Boommmmm..

Dentuman demi dentuman terdengar. Mereka tekun melaksanakan misi jihad.

Bumm!

Di sebuah tempat, terdampar beberapa tubuh. Bajunya berlumuran darah. Ada peluru tertimbus di dada dan di sekitar tubuh mereka. Harum darah syuhada’, rautnya tersenyum megah. Antaranya adalah pemuda bernama Uwais Al-Qarni. Kini dia sudah mengotakan janjinya.

Bummm!

Dan, di sebuah tempat. Darah mengalir laju. Wanita berjilbab itu ditembak di belakang badannya. Peluru tertimbus dalam. Nur Safiyyah tersenyum.

Roh para syuhada’ itu berterbangan di langit.

Uwais dan Safiyyah sudah mengotakan janji.

Mereka bertemu di syurga.

Surah At-Taubah :

(52) Katakanlah: (Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu-tunggu untuk kami melainkan salah satu dari dua perkara yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid) dan kami menunggu-nunggu pula untuk kamu bahawa Allah akan menimpakan kamu dengan azab dari sisiNya atau dengan perantaraan tangan kami. Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu bersama-sama kamu.

(71) Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(72) Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam Syurga Adn serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.

(111) Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

Surah Al-Ahzab :

(22) Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.

(23) Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

……………………

Original writing by Masturah Abu Bakar.

21.Nov.08
www.islamcintaku.blogspot.co

Sumber: Halaqah-Online

Pautan Rasa (2) / Read More

Sunday, October 4, 2009 / Labels:

Kakak...(T_T)

ALLAH~

ALLAH~

ALLAH~

Ana tak mampu menahan rasa jika melihat dia dan sahabat-sahabat seangkatan dengannya diperlakukan sedemikan. KEJAM.

Kakak dan anak-anak

Anak-anak Kakak

Kalau dulu, ibunya yang diperlakukan sedemikian, kini giliran anaknya pula.

Saidatul - ibu Kakak - yang dahulunya turut 'dirampas' bersama anak-anak baru daripada Kakak dan Abang

Kakak kehilangan anak, susu membengkak, hati menghiba, mencari-cari di mana anak-anak pertamanya...? ALLAH...(T_T)

Tiada perikemanusiaan.

Sudah menjadi ayat basi kalau ana melontarkan persoalan "bagaimana kalau anak kamu yang diambil dari kamu?" Masyarakat sudah bosan dengan persoalan-persoalan yang memulangkan paku buah keras.

Cumanya, fikirkanlah...daripada memisahkan ibu kucing daripada anak-sah-nya yang masih menyusu, lebih baik pisahkan yang menunggang daripada yang membonceng tanpa ikatan yang sah...
ALLAH, ENGKAU Maha Mengetahui apa yang berlaku dan hikmah di sebalik setiap kejadian. ENGKAU Maha Berkuasa menentukan segalanya. Hanya kepadaMU hamba bergantung harap...Semoga anak-anak Kakak elok-elok sahaja...di bawah perlindunganMU ya ALLAH...dan semoga Kakak diberi ketabahan menghadapi ujianMU ini...Ameen..

Haiwan...juga berperasaan...

Pautan Rasa (0) / Read More

/ Labels:

A.K.A.L

Salam 15 Syawal. Alhamdulillah, sudah separuh bulan kemenangan dilalui oleh umat Islam seluruh dunia. Sudah ramai juga yang menghabiskan puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal hingga memperoleh nikmat beraya "1 Syawal" untuk kali kedua. Bagi yang belum sempat menghabiskannya, cepat-cepatlah merebut hadiah ALLAH yang sudah hampir tamat tempoh percumanya ini. Hadiah ALLAH yang begitu banyak sejak Ramadhan lagi ditambah-tambah pula dengan hadiah di bulan Syawal yang mulia.

Sabda Rasulullah s.a.w: "Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengikutinya dengan (puasa) enam pada bulan Syawwal, maka jadilah seperti puasa setahun." (HR Muslim)

Begitu banyak sebenarnya nikmat dan kurnia ALLAH kepada hamba-hambaNYA, tetapi begitu sedikit sahaja yang mensyukurinya. Kenapa masih ada segelintir manusia yang kurang bersyukur? Biarpun hingga ditimpa badai yang padanya ada tanda-tanda kemurkaan ALLAH sebagaimana diturunkan bala bencana kepada kaum-kaum yang terdahulu. Seperti gempa bumi yang berlaku di Padang, adakah bencana itu sekadar lakonan alam atau peringatan daripada ALLAH s.w.t? Gempa bumi 7.6 pada skala Richter di Padang 30 September yang lepas, pada jam 6.15 petang waktu Malaysia turut dirasai di negara ini. Malah, ana sendiri yang ketika itu sedang menghadap Facebook turut merasakan gegaran tersebut. Pada mulanya, ana mengandaikan kepala yang pening, tetapi lama kelamaan gegaran semakin ketara hingga nampak katil di sebelah ana bergoyang sedikit.

"Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti KAMI akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat KAMI), maka KAMI seksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan." [al-A'raf: 96]

Gegaran yang sedikit dirasai oleh rakyat Malaysia dan negara-negara di sekitar Sumatera itu sudah cukup sebenarnya menjadi peringatan kepada kita betapa pada bila-bila masa sahaja ALLAH akan tarik semula nikmat yang diberikan olehNYA andai kita tidak bersyukur. Umat Islam akhir zaman ini akan diuji dengan berbagai-bagai ujian, bahkan kaum-kaum yang terdahulu juga telah diuji dengan berbagai-bagai mehnah. Tetapi masih ramai juga yang tidak mampu berfikir kenapa kejadian alam begini dan begitu. Bukankah al-Qur'an itu sudah cukup sebagai peringatan?

Sahabat, akal manusia itu bukan untuk disimpan sahaja di tempatnya, tanpa digunakan untuk berfikir kejadian yang ditentukan oleh Pencipta akal tersebut. Fikirkanlah.

Pautan Rasa (2) / Read More

Sunday, September 27, 2009 / Labels:

Lagi Isu Nabi Palsu

KOTA KINABALU 26 Sept. - Polis sedang menyiasat kes kematian seorang lelaki tempatan yang mayatnya ditemui dibalut di dalam sebuah beg plastik selama 13 bulan di sebuah rumah di Taman Kobusak Villa di Penampang dekat sini.

Ini berikutan, Ching Chi Vui yang merupakan ketua sebuah kumpulan keagamaan 'Benevolent Missionary Association' dikatakan mengaku dirinya nabi dan mendakwa akan hidup semula.

Justeru, dia telah mewasiatkan kepada pengikutnya supaya tidak mengkebumikan mayatnya.

Polis yang melakukan serbuan di rumah itu menemui dua beradik wanita sedang berdoa supaya mayat mangsa kembali hidup.

Mayat mangsa yang dibalut kemas dengan plastik diletakkan di tengah ruang tamu rumah berkenaan.

Difahamkan setakat ini polis telah menahan tiga wanita berumur di antara 26 dan 44 tahun berasal dari Tawau bagi membantu siasatan.

Penghuni rumah itu juga dikatakan tidak menjelaskan sewa tertunggak kira-kira RM20,000 malah bekalan elektrik dan air telah dipotong kerana gagal menjelaskan bil.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, dia sering mendengar suara seperti orang berdoa dari rumah itu pada waktu malam.

Sementara itu Ketua Polis Penampang, Deputi Supritendan Madang Usat ketika dihubungi mengesahkan kes itu tetapi enggan mengulas.

Sumber: Utusan Malaysia

Semakin ramai yang mengaku nabi di akhir zaman. Belum lagi masuk isu murtad. Kita sudah tiada Saidina Abu Bakar untuk mengetuai gerakan memerangi golongan ini, tetapi sebagai individu Muslim, kita memegang amanahnya untuk terus berdakwah menegakkan kalimah ALLAH di muka bumi. Teruskan perjuangan, semoga ALLAH sentiasa memberi pertolongan. Ameen.

P/S: Bila google di internet, terjumpa Benevolent Missionary Association ni pusatnya di Filipina. Teringat zaman Kristianisasi...

Pautan Rasa (0) / Read More

/ Labels:

Jom Baca!

Salam 8 Syawal. Alhamdulillah, semalam sempat juga keluar dengan adik lelaki ana sebelum kami sama-sama pulang ke kampus masing-masing pada hari ini. Mulanya hendak membeli bahan-bahan untuk membuat kek lapis, panjang pula kaki ini melangkah ke Popular, sebuah kedai buku di Parkcity Mall Bintulu. Seperti biasa, hati yang tidak dapat melihat buku-buku menarik terus merembat beberapa buah buku sebagai bekalan pulang ke kampus selain daripada kek-kek lapis yang dipesan awal oleh sahabat-sahabat. Ana dan adik ana berada agak lama juga di situ untuk membelek-belek buku yang ada dan akhirnya inilah tiga buah buku yang ana beli.

Tajamkan daya fikir dengan buku berbahasa Inggeris tulisan Rustam A. Sani. RM 27.50

Novel karya anak Johor yang kini belajar di Jordan, sebaya adik ana, Syauqi. Baru beberapa helaian dibaca, dah nampak indahnya jalan ceritanya. RM 20.00

Singkap peribadi, pengalaman dan sejarah tokoh-tokoh yang pernah menoreh sejarah dengan tinta emas, sesuai untuk pencinta-pencinta harakah Islam. RM 27.50

Mulanya ana teringin nak beli buku yang dari dulu ana nak beli: "Saya Pun Melayu" karya Zaid Ibrahim, tetapi tergerak pula nak beli tiga buah buku di atas. Tangguh lagi la nak memilikinya. Insya'ALLAH lain kali.


Syauqi pula membeli novel berbahasa Inggeris bertajuk New Moon. Erm, pertama kali juga melihat dia membeli buku untuk dirinya. Alhamdulillah, ALLAH kurniakan minat untuk membaca kepada adik-adik ana. Semoga bacaan bermanfaat dijadikan panduan setelah Al-Qur'an menjadi pedoman. Ameen.

Pautan Rasa (2) / Read More

Saturday, September 26, 2009 / Labels:

Apabila Sahabat-sahabat Bercerita tentang Baitul Muslim

Salam 7 Syawal. Sudah 7 hari Syawal menenami kita setelah Ramadhan berlalu pergi. Entah kenapa Syawal ini begitu banyak cerita tentang perkahwinan meniti di bibir-bibir sahabat malah di facebook-facebook dan blog-blog. Sejak sebelum Syawal bukan tidak ada yang membawa isu ini, tetapi menjelang Syawal ini semakin hangat pula isunya. Sedar tidak sedar sebenarnya semuanya telah dewasa, memang sudah sampai masanya untuk berfikir tentang rumah tangga. Bak kata mak ana semasa 'sesi perbincangan' bersama adik-adik malam tadi; "da 20 lebih, memang da kena kahwin." Sepupu ana, Kak Dahlia pula melangsungkan perkahwinan pada hari ini. Dan ramai juga senior-senior dan saudara mara sahabat yang melangsungkan walimah Syawal ini. Antara blog sahabat yang bercerita (sebelum dan semasa Syawal):

Akh Hafizul Hilmi
Akh Ishack 1
Akh Ishack 2
Akh Amin Hamami
Akh Zulhilmey

Dan lebih banyak di facebook-facebook. Tergelak juga ana apabila ada sahabat yang mengandaikan bahawa ini adalah penangan daripada ketupat dan lemang di hari raya kali ini. Ada juga sahabat yang "takut" untuk memikirkan tentang Baitul Muslim kerana masih belum bersedia untuk memikirkannya. Bermacam-macam ragam sahabat apabila berbincang mengenai Baitul Muslim. Bercakap tentang Baitul Muslim sebenarnya membawa diri kita menilai kebersediaan kita untuk menghadapi hari muka. Sudah cukupkah persediaan diri untuk menerima teman sehidup semati? Yang soleh & solehah dicari, tetapi adakah diri sendiri telah menjadi soleh & solehah? Bak kata seorang sahabat; "tepuk dada, tanya iman."

Biarlah persoalan-persoalan itu dijawab di dalam hati antum sendiri. Ingin ana kongsi dua gambar di bawah sebagai renungan...



P/S: Selamat pengantin baru buat Kak Dahlia. =)

Pautan Rasa (3) / Read More

Wednesday, September 23, 2009 /

Taklimat "How To Get Yourself Employed"

Kepada semua pelajar tahun akhir yang berada di semester akhir FKE

Taklimat Program Degree ++
Tarikh & Hari: 19 Oktober 2009 (Isnin)
Tempat & Masa: DK4, Blok P19, Jam 9.00 pagi
Kehadiran adalah diwajibkan beserta RM30 untuk pendaftaran Kursus "How To Get Yourself Employed"

Pautan Rasa (0) / Read More

Monday, September 21, 2009 /

Mahar Cinta Syawal


Dari medan Ramadan sepenuh perjuangan
Terpamir ketulusan jiwa, kemurnian hati,
kecerdasan fikiran, ketangkasan tindakan…
Ukir semurni tadbir
Tagih sesuci takdir

Dari takbir Syawal seluruh kemuliaan
lambang satu kemenangan
mengatasi kejahatan diri dalaman
menangani angkara musuh luaran
kembali ke fitrah…
kembali kepada Allah!

Hitung syukurmu di istana rahmat-Nya
Renung sukarmu di penjara dosa-dosa
Moga keberkatan Ramadhan…
Agar Kemuliaan Syawal…
Menjadi mahar seorang hamba…
untuk melamar cinta Tuhannya!

Karya: Ustaz Pahrol M. Juoi
Madah Hati di Aidilfitri

Pautan Rasa (0) / Read More

/ Labels:

Coretan 2 Syawal

Salam aidilfitri. Alhamdulillah, hari ini sudah dua hari umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sudah dua hari Ramadhan meninggalkan kita, sudah dua hari juga syaitan dilepaskan daripada belenggu. Yang nyata, bulan Syawal yang menyusul selepas Ramadhan menguji kita sebagai hambaNYA dalam mengawal nafsu dan "meng'control' perut" (bak kata Akhi Amin Hamami). Berbagai-bagai juadah dan kuih raya yang terhidang di setiap rumah yang dikunjungi pasti mengundang selera apatah lagi pada hari (dan bulan mungkin) kebesaran umat Islam di seluruh dunia ini. Yang penting, berpada-padalah mengisi perut dan jangan dilupa bahawa perut itu rumah bermacam-macam penyakit.

Bukan sahaja nafsu makan, nafsu membawa kereta untuk pulang ke kampung halaman juga perlu dikawal agar tidak terjadi perkara-perkara yang tidak diingini. Hingga ke hari ini, sudah 114 kematian dicatatkan akibat kemalangan jalan raya sejak Ops Sikap dilancarkan lebih seminggu yang lalu. Ingatlah insan-insan tersayang yang menunggu di kampung halaman, dan ambil iktibar daripada statistik ini agar tidak terbabas dalam perjalanan kembali setelah puas beraya nanti.

Dalam kita mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri ini juga, hendaklah berpada-pada agar tidak berlaku pembaziran. Innal mubadziriin kaanu ikhwaana syayatiin. Bukan sahaja rumah terbuka, malah dari segi perhiasan rumah, lampu raya berapa banyak nak pasang, rancangan TV berapa jam nak tonton, wayang Jin Notti perlu tengok ke tak di Hari Raya, perlu beli mercun banyak-banyak atau tak, dan macam-macam lagi. Dari segi kek lapis pula, perlu buat banyak-banyak tak, bimbang tak ada yang nak habiskan. Kalau ada, erm..boleh la..=)

Banyak perkara yang berlaku pada Hari Raya, tetapi tidak semua dapat diconteng di sini. Dalam ter'uhuk-uhuk' menyambut raya, ana mohon agar sahabat-sahabat doakan ana cepat sembuh daripada batuk yang menyerang. Erm...Sambung cerita lain kali, ada tetamu datang ke rumah. Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin...=)

Pautan Rasa (0) / Read More

Wednesday, September 16, 2009 /

Kad Raya

Salam Aidilfitri buat semua pengunjung blog, maaf zahir dan batin.

Pautan Rasa (0) / Read More

/

Surat Cinta untuk Anak-anak...

Salam wa rahmatullahi wa barakatuh…

Adik-adik yang akak kasihi kerana ALLAH, apa khabar iman antunna di malam-malam terakhir Ramadhan? Mungkin sudah terlalu lewat untuk akak mengajak adik-adik mengejar Malam Seribu Bulan, tetapi tidak terlalu lambat untuk akak terus memberikan kata-kata semangat agar adik-adik istiqomah mengimarahkan malam-malam terakhir Ramadhan ini, yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Macam mana nak penuhkan malam-malam terakhir? Betul ke Lailatul Qadar belum datang lagi? Ke dah berlalu? Hanya ALLAH Maha Mengetahui dan hanya ALLAH tempat segala pergantungan. Kita sebagai hamba perlu meletakkan segala kepercayaan dan tidak ragu-ragu dengan janji ALLAH untuk hamba-hambaNYA yang yakin akan kebenaranNYA. Ingat lagi surah al-Ikhlas yang kita sentuh dalam usrah Tauhid?

1. Katakanlah: “DIA lah ALLAH, yang Maha Esa. 2. ALLAH adalah Tuhan yang bergantung kepadaNYA segala sesuatu. 3. DIA tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. 4. Dan tidak ada seorang pun yang setara denganNYA. [al-Ikhlas: 1-3]

Inilah pokok pangkal aqidah, revise balik nampaknye... Dalam ayat pertama, terbukti hanya ALLAH puncak kepercayaan. Segala sesuatu ini adalah ALLAH yang menciptakan, maka hanya kepada ALLAH tempat bergantung. Mustahil DIA beranak, yang memerlukan anak hanyalah makhluk bernyawa yang mengkehendaki keturunan yang akan melanjutkan hidupnya. Lailatul Qadar itu juga ciptaanNYA, beruntung kita sebagai umat Islam; dapat mengecapi kemanisan malam Lailatul Qadar yang manisnya seumpama seribu bulan terasa. Tetapi yang mampu merasai manisnya Lailatul Qadar itu bukan semua, hanya orang-orang yang percaya tanpa rasa ragu-ragu kepada ALLAH dan RasulNYA sahaja yang akan merasakannya seperti dalam surah al-Hujurat ayat 15.

15. Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada ALLAH dan RasulNYA, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan ALLAH. Mereka itulah orang-orang yang benar. [al-Hujurat: 15]

Sebagai seorang Muslim, kita sewajarnya meletakkan keyakinan yang tinggi kepada ALLAH dan RasulNYA. Muslim juga manusia, kita punya akal yang boleh menimbang dan memilih kebenaran, kita punya fikiran waras untuk menjauhi kesesatan. Barangsiapa menolak segala perlanggaran batas dan beriman kepada ALLAH, maka sesungguhnya telah berpeganglah dia kepada tali yang amat teguh, yang tidak akan putus selama-lamanya. Ingat tak ayat ni? Dalam usrah Aqidah kita ada bincangkan, aqidah itu seperti apa? 

256: Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Taghut dan beriman kepada ALLAH, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus; dan ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [al-Baqarah: 256]

Jadi adik-adik yang disayangi, janganlah kita biarkan Taghut menguasai hati, fikiran dan tindakan kita. Di bulan Ramadhan yang mulia ni, biarpun syaitan yang merupakan Taghut paling utama telah dirantai olehNYA, jangan lupa Taghut-taghut yang lain yang mungkin secara tidak sedar kita puja hingga menjauhkan kita daripada ALLAH. Bulan Ramadhan yang kian berakhir, bakal kita tangisi kerana akan terlepaslah semua syaitan dan tidak lagi kita berpeluang untuk memfokuskan pengabdian kepada ALLAH seperti selama beberapa minggu yang lalu. Bulan Ramadhan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi, bakal kita tangisi kerana masa hadapan belum tentu lagi buat kita, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui adakah kita cukup masa dan peluang untuk mengecap Ramadhan akan datang.

Oleh itu, yok adik-adik akak yang cumil-cumil~ kita imarahkan malam-malam terakhir Ramadhan ni dengan memperbanyakkan amalan sunat...Jangan lupa Qiamullail, sujudlah kepada ALLAH di sepertiga malam, pada waktu itu, doa kita paling makbul terutama di bulan Ramadhan ni... Ok adik-adik, selamat hari raya, maaf zahir batin....Jangan lupa puasa sunat 6 hari tau~ nanti akak cek balik UTM :p

Wassalam...

Pautan Rasa (0) / Read More

Wednesday, September 9, 2009 / Labels:

Al-Qur’an Pemberi Syafaat di Akhirat


“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)

Alhamdulillah, sedar tidak sedar, kita sudah pun berada di pertengahan bulan Ramadhan yang penuh berkat dan kemuliaan. Sebagaimana yang kita ketahui, dalam bulan yang penuh dengan rahmat dan keampunan ini, telah terjadinya satu peristiwa yang penting dan bersejarah, iaitu turunnya ayat suci Al-Qur’an yang pertama dan kemudiannya secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w yang kita kenali sebagai Nuzul Al-Qur’an. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Turunnya kitab suci ini telah membawa cahaya perubahan kepada kehidupan manusia daripada kehidupan jahiliyyah dan sesat kepada kehidupan yang beriman dan mulia.

Al-Qur’an merupakan mukjizat Rasulullah s.a.w yang paling agung dan menjadi panduan kepada umat Islam sehingga ke hari ini. Al-Qur’an telah dijanjikan oleh Allah sebagai kitab yang terpelihara hingga ke hari kiamat. Tidak ada makhluk Allah yang dapat mencabar keagungannya dari segala segi mahupun menokok-tambah atau mengubah kandungan Al-Qur’an seperti dalam firman-Nya:

“Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Qur'an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Al-Israa’: 88)

Islam menggalakkan umatnya supaya melazimkan diri membaca Al-Qur'an kerana membaca Al-Qur'an adalah amalan yang sangat mulia, lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini. Dengan amalan yang sedemikian, akan menambahkan lagi ganjaran dan rahmat Allah s.w.t serta mendapat syafaat (pertolongan) pada hari akhirat kelak, sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w maksudnya:
“Dari Abi Umamah Al-Bahili berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bacalah oleh kamu Al-Qur'an kerana sesungguhnya Al-Qur'an itu akan datang pada Hari Kiamat memberi syafaat (pertolongan) kepada pembacanya”. (Riwayat Al-Imam Muslim)

Walau bagaimanapun, dengan pemodenan kehidupan yang berlaku setiap kali meningkatnya tahun, dekad, dan abad, dunia Islam semakin kekurangan jiwa-jiwa yang celik Al-Qur’an. Al-Qur’an hanya dibaca apabila tiba bulan Ramadhan dan kadang-kadang dalam majlis Khatamal Al-Qur’an ketika kenduri perkahwinan. Sangat sedikit yang membaca Al-Qur’an pada masa-masa yang lain; selepas setiap waktu solat, sebelum tidur, semasa menunggu bas, semasa menunggu kedatangan pensyarah, dan banyak lagi masa-masa terluang yang selalunya dibazirkan untuk perkara-perkara kurang bermanfaat.

Ke mana menghilangnya generasi Al-Qur’an? Yang siang dan malamnya dihiasi dengan taranum dan tadabbur Al-Furqan, masa-masa lapangnya digunakan untuk mengkaji Kalam Allah dan setiap saat dalam hatinya menghafaz ayat suci Kitabullah. Kebanyakan umat Islam kini yang mengaku Muslim tidak begitu menghayati Al-Qur’an berbanding buku-buku sejarah dan Sains nukilan karyawan Barat, sedangkan Al-Qur’an sejak turunnya telah mengisahkan pelbagai sejarah kehidupan manusia dan ilmu Sains yang akhirnya pada zaman ini diiktiraf oleh saintis-saintis Barat. Sebagai Muslim, sepatutnya Al-Qur’an itulah menjadi rujukan pertama sebelum buku-buku selainnya, tetapi pada zaman yang hampir kiamat ini, Al-Qur’an seakan-akan diletakkan di tempat keempat, kelima mahupun yang terakhir sebagai tempat rujukan. Manusia hampir terlupa bahawa antara tanda-tanda besar kiamat adalah hilangnya tulisan Al-Qur’an dari mashaf dan daripada hati umat Islam.

Oleh itu, sebagai hamba Allah yang tahu, sudah menjadi tanggungjawab kepada saudara seagama yang lain untuk mengajarkan Al-Qur’an dan hal-hal mengenainya. Ibu bapa mengajarkan anak-anak, abang dan kakak mengajarkan adik-adik, sahabat mengajarkan sahabat, pendek kata, yang tahu mengajarkan yang tidak tahu. Bagi yang tidak tahu membaca Al-Qur’an, adalah disarankan agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mempelajarinya kerana pada masa ini banyak kemudahan yang telah disediakan, antaranya kelas-kelas Al-Qur'an di masjid-masjid, CD-CD belajar Al-Qur’an, dan sebagainya.

Sesungguhnya pahala dan berkat bukan hanya akan diperolehi oleh mereka yang membaca Al-Qur'an, tetapi juga akan diperolehi oleh orang yang mendengar bacaan Al-Qur'an. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-A'raaf ayat 204 maksudnya:

“Dan apabila Al-Qur'an itu dibacakan maka dengarlah akan dia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat”.

Maka, apabila Al-Qur'an dibacakan terutamanya di Majlis-majlis Peraduan Al-Qur'an, Tadarus Al-Qur'an, Khatam Al-Qur'an dan sebagainya, adalah elok kita diam dan mendengar bacaan Al-Qur'an agar kita dapat menghayati dan memahami maksud yang terkandung di dalamnya. Perbuatan sedemikian adalah dikira ibadat dan akan mendapat pahala dari Allah S.w.t.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama merebut peluang untuk melipat-gandakan amalan dengan membaca dan menghayati Al-Qur’an, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Semoga kita semua tergolong dalam orang-orang yang menerima syafaat, rahmat dan berkat daripada Allah s.w.t di dunia dan di akhirat. Amiin.

Salam Nuzul Al-Qur'an.

Siti Hasunah Binti Mohammad,
Fakulti Kejuruteraan Elektrik.

Pautan Rasa (0) / Read More

Saturday, September 5, 2009 / Labels:

Surat Cinta Dari Langit

Salam mahasiswa. Jom ramai-ramai mengimarahkan majlis ilmu dan iftar di MSI ahad ini. Semua dijemput hadir.

Pautan Rasa (4) / Read More

/ Labels:

A Short Islamic Cartoon About Marriage



Salam Ramadhan. Saja nak kongsi video menarik dengan pembaca di bulan Ramadhan yang mulia. Banyak lagi yang dia hasilkan, boleh cari kat Youtube dengan gelaran nama queenofgrungedom

Pautan Rasa (1) / Read More

Thursday, September 3, 2009 / Labels:

Hati Yang Berbunga-bunga

Salam mahasiswa. Coretan kali ini tidak lain tidak bukan adalah untuk berkongsi perasaan berbunga apabila membaca berita-berita terkini di dada akhbar. Jarang-jarang sekali hati ini menguntum senyum apabila membaca berita-berita yang dipaparkan oleh media, sangat mantaplah isi berita yang menyebabkan diri ini tersengih sendiri.

Alain Robert - salah seorang manusia ciptaan ALLAH yang sangat berpegang kepada matlamat yang ingin dicapai dengan mengambil kira segala risiko yang bakal dihadapi. Itu apa yang ana lihat pada dirinya. Siapa dia Alain Robert? Bagi yang mengikuti perkembangan negara pasti mengenali Spiderman Perancis ini. Robert digelar Spiderman Perancis kerana hobinya adalah memanjat bangunan pencakar langit di setiap negara yang dikunjunginya. Baru-baru ini, Malaysia agak kecoh dengan tindakan Robert menawan puncak Menara Berkembar Petronas yang setinggi 452 meter.

Kenapa ana tersengih sendiri apabila membaca berita ini? Kerana tidak ramai orang sepertinya, yang sanggup mengambil risiko dituduh melanggar peraturan untuk mencapai matlamat. Ana percaya Robert sudah maklum bahawa dirinya bakal ditangkap kerana sebelum ini pun dia pernah dihalang untuk memanjat bangunan yang sama sebanyak dua kali. Namun, dia didapati tidak membawa bahaya kepada negara kerana masuk sebagi pelancong tanpa menggugat keselamatan negara lau dibebaskan dengan denda RM 2,000. Robert nyata tidak kisah ditangkap malah dikenakan bayaran, asalkan impiannya selama 12 tahun lalu itu tercapai walaupun tidak tidur lena di dalam lokap semalaman. Berapa ramai lagi yang sepertinya? Kalau Robert yang melakukannya hanya kerana keseronokan semata-mata sudah mampu menguntum senyum di hati, mungkin kemunculan yang lain akan lebih memekarkan kuntuman bunga di hati ini kalau dilakukan untuk matlamat yang lebih baik di jalanNYA.

Isu kedua yang menyebabkan ana tersenyum adalah isu kepala lembu. Mungkin tidak perlu dibincangkan lagi kerana sudah nyata lagi bersuluh isu itu hampir selesai dengan tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencabar mana-mana pihak mencari tapak kuil yang baru untuk menggantikan tapak kuil asal di Seksyen 23, Shah Alam. Cumanya, ana kebingungan kerana satu pihak mengatakan tindakan itu menghina agama Hindu, manakala satu pihak lagi mengatakan tindakan tersebut bukan bertujuan untuk menghina mana-mana agama kerana lembu bukan lambang Tuhan mana-mana agama, tetapi sebagai tanda protes kepada kerajaan semata-mata. Hurm, mana satu yang dipegang? Pembaca yang ingin tahu lebih lanjut mengenainya bolehlah mencari artikel ini melalui mana-mana media secara online. Contohnya:

Kepala lembu protes terhadap kerajaan negeri
Kementerian pandang serius isu jejas keharmonian

Isu ketiga adalah mengenai Konsert Jelajah MLTR yang bakal diadakan (atau bakal dibatalkan) pada 5 September 2009, iaitu Sabtu ini. Mungkin pihak penganjur terlepas pandang bahawa sekarang ini bulan Ramadhan dan Malaysia adalah negara Islam mengikut perlembagaan. 24 Ogos 2009, Dewan Pemuda PAS telah menggesa kerajaan untuk membatalkan konsert tersebut kerana dilihat menghina umat Islam di bulan Ramadahan. Baru-baru ini, Datuk Jamil Khir Baharom pula menggesa pihak penganjur untuk mengambil kira sensitiviti umat Islam sebelum membuat keputusan untuk meneruskan konsert itu yang dicadangkan untuk diadakan di Genting Highlands Sabtu ini. Jika Menteri di Jabatan Perdana Menteri pun telah bersuara, adakah pihak penganjur masih berdegil mahu meneruskan konsert? Bagaimana agaknya tindakan kerajaan jika perkara ini berlaku dan kesannya selepas ini kepada pihak MLTR?

Wallahu'alam.

Teruskan 'mencaknakan' diri anda dengan isu semasa~

Selamat menjawab Test 1 Engineering Economics kepada sahabat-sahabat yang mengambil mata pelajaran ini pada semester ini.

Pautan Rasa (0) / Read More

Saturday, August 29, 2009 / Labels:

MPP: Bukan Evo-M dan bukan Pro-M?

Salam mahasiswa. Hari ini tanggal 29 Ogos 2009, bukan Hari Kemerdekaan. Hari ini sudah masuk 8 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan, dan sepatutnya hari ini hari kedua MPP UTM menyampaikan tazkirah di kolej-kolej mengikut jadual yang ditetapkan.

Semalam, untuk sesi road tour di Kolej Rahman Putra (KRP), Presiden yang sepatutnya memberi tazkirah telah balik ke rumah. Ana yang mengatur jadual mula mencari pengganti. Naib Presiden Fakulti dihubungi, malangnya dia berada di Terengganu lalu dia mencadangkan salah seorang Exco Kebajikan untuk menggantikan Presiden. Exco Kebajikan itu dihubungi dua kali, akhirnya dia memberitahu telah ada appointment lain untuk dipenuhi. Naib Presiden Kolej pula dihubungi, mesej tidak berbalas sehingga pukul 6.30 petang; "xde preparation, baru balik dari putrajaya". Ketua Jabatan 3K turut ditanya, dia berada di kota semalam dan hari ini juga dia tiada di UTM untuk menyampaikan tazkirah di Kolej Tun Fatimah (KTF). Seorang lagi Exco Kebajikan dihubungi, namun sehingga hari ini tidak mendapat respon.

Sudah masuk waktu Asar, pengganti masih belum diperolehi. Exco JPM yang namanya tersenarai di dalam jadual pula dihubungi; dia juga telah balik ke rumah. Exco JAKERS sendiri yang dihubungi sejak dari awal tadi pula baru membalas mesej setelah keluar dari dewan peperiksaan: "malam ni nak jumpa kakak. ada hal peribadi". Seorang lagi Exco JAKERS tidak membalas mesej sehingga selepas solat tarawikh; "ana jd imam solat tarawikh kat K9 td". Siapa lagi? Ketua JAKERS pun dihubungi untuk memberitahu keadaan pada masa itu, terpaksa diganggu ketika dia sedang menyelesaikan satu urusan penting. Tiada respon. Sibuk mungkin. Exco Kebajikan yang dicadangkan oleh Naib Presiden Fakulti menghubungi ana untuk mengetahui situasi. Ana maklumkan mengenai hampir semua MPP muslimin yang dihubungi telah pulang ke rumah (walaupun maklumat mengenai road tour telah diberitahu awal; terlupa mungkin). Katanya, dia akan cuba membantu dan bersetuju untuk menjadi pentazkirah di KTF malam ini.

Hampir jam 6, mesej ditaip: Salam perpaduan. Road tour di KRP malam ini DIBATALKAN kerana.. - mesej lain masuk. Mesej daripada Exco Kebajikan, "Salam. sy da confirmkn dgn Ketua JAKERS. confirm". Alhamdulillah, mesej diubah:

"[ROAD TOUR TARAWIKH]. Salam perpaduan. Road Tour Tarawikh MPP 28/08/09 - KRP. Pentazkirah: ARIZAL. 29/08/09 - KTF. AZIM. Semua MPP djmput hadir. P'ingatan kpd p'tazkirah yg lain, jk anda x dpt mluangkn ms pd tarikh yg dnyatakan sblum ini, sila maklumkn awal untuk mmudahkn kerja mcari pngganti anda. Tq."

Dan malam tadi, Arizal sebagai Ketua JAKERS, mewakili MPP (ana ulang - MEWAKILI M.P.P) menyampaikan tazkirah tentang tanggungjawab memberi peringatan sesama muslim. Tazkirah ringkas menggantikan Presiden itu hanya mengambil masa kurang lebih 5 minit, dan ana tidak pasti bagaimana 'preparation' yang dilakukan olehnya sebelum tazkirah memandangkan dia hanya mengetahui bahawa dirinya perlu menggantikan Presiden malam itu pada sebelah petangnya.

Melalui apa yang berlaku, ana bukan sengaja meletakkan Ketua JAKERS sebagai pentazkirah di KRP sedangkan di dalam jadual sepatutnya Presiden sebagai pentazkirah. Hal ini berlaku apabila hampir semua MPP ada urusan masing-masing dan yang tinggal untuk melaksanakan tanggungjawab itu adalah Ketua JAKERS sendiri. Dan, semasa menyusun jadual, tidak terlintas langsung di fikiran ana untuk mempromosikan mana-mana parti mahasiswa. Tidak berniat langsung hendak mempromosikan Pro-Mahasiswa di kolej-kolej seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak di peringkat atasan. Kalau betul ana ingin mempromosikan Pro-Mahasiswa, lebih baik ana letakkan banyak nama wakil MPP daripada Pro-Mahasiswa di dalam jadual. Kalau dilihat di dalam jadual, hanya ada 3 nama MPP daripada Pro-Mahasiswa, sedangkan tujuh orang lagi daripada Evo-Mahasiswa. Dan paling ana kecewa, pagi ini ana mendapat mesej daripada Timbalan Presiden, hasil mesyuarat majlis pengetua-pengetua kolej malam tadi, semua tazkirah yang dirancang oleh MPP dibatalkan melainkan mendapat surat permohonan daripada TNC yang membenarkan MPP turun ke kolej-kolej.

Sebenarnya, sebelum ana mendapat mesej itu lagi, ana telah dimaklumkan oleh ahli Sekretariat Biro Kerohanian daripada KTF bahawa tazkirah tidak dibenarkan di KTF. Alhamdulillah, ana masih boleh terima. Terima kasih kepada pihak tersebut kerana memberitahu ana. Road Tour MAJLIS SOLAT TARAWIKH masih tetap dijalankan walaupun tidak berpeluang untuk berkongsi ILMU PENGETAHUAN. Tindakan sesetengah pihak yang mengatakan MPP daripada Pro-Mahasiswa mahu mempromosikan Pro-Mahasiswa nampak kurang rasional dan melambangkan sempitnya pemikiran pihak-pihak tertentu. Kata-kata itu menunjukkan pihak atasan masih lagi tidak menerima MPP keseluruhannya sebagai MPP, tidak seperti kata-kata Presiden sejak awal penubuhan MPP sesi ini dahulu. Presiden MPP sesi ini sering mengingatkan anak-anak buahnya bahawa MPP adalah satu, bukan dua atau tiga. Segala gerak kerja adalah satu, tiada Pro-Mahasiswa mahupun Evo-Mahasiswa. Nampaknya persetujuan di peringkat MPP ini tidak dapat diterima oleh pihak atasan. Malah, Pro-Mahasiswa dikatakan mahu membawa isu politik di dalam tazkirah. Aduh, adakah perwakilan mahasiswa masih dilihat membawa politik luar? Jangan samakan kami dengan parti-parti politik negara. Dan malam tadi, seingat ana tiada pun kata-kata Ketua JAKERS yang boleh menggambarkan bahawa dia mahu mempromosi Pro-Mahasiswa malah tidak menyentuh langsung tentang PRK.

Ana lebih terkilan kerana mengetahui semua ini daripada orang lain, bukan daripada Ketua JAKERS sendiri. Kenapa perlu ana terkilan? Kerana surat-surat yang dihantar ke kolej-kolej itu atas nama Ketua JAKERS, bukan Exco Kebajikan atau Timbalan Presiden mahupun Ketua JPM. Kenapa tidak dihubungi terus Ketua JAKERS untuk menyatakan pembatalan tazkirah? Kalau takut Pro-Mahasiswa mempromosikan Pro-Mahasiswa di kolej-kolej, nyatakan secara terus-terang kepada orang yang sepatutnya. Dan, ana tertanya-tanya sekiranya Presiden yang nyata merupakan wakil MPP daripada Evo-Mahasiswa memberi tazkirah malam tadi, adakah perkara ini akan berlaku? Wallahu'alam.

Road Tour Majlis Solat Tarawikh bersama MPP UTM.
29/08/09 di KTF.
Pentazkirah: Bukan Evo-M dan bukan Pro-M.
Semua dijemput hadir.


P/S: Yang memaksa ana mengeluarkan identiti adalah anda yang tidak mahu kami mengeluarkan identiti. ~mengharapkan agar pemikiran lebih rasional, tanpa prasangka, tanpa ketakutan yang dibuat-buat~

Pautan Rasa (6) / Read More

Wednesday, August 26, 2009 / Labels:

Entri Ini Tidak Bertajuk

Salam. Ana tidak pasti apa tajuk untuk entri kali ini, oleh itu entri ini tidak bertajuk. Sudah lama diri ini tidak menaip papan kekunci untuk menulis di ruang maya ini. Entah kenapa, idea tidak datang. Kalau datang pun, sebentar sahaja akan dilupakan kerana penyakit 'M'. Usah ditanya apa penyakit 'M' itu, kerana ana pasti antum yang berkecimpung dalam dunia blog sudah sedia tahu apa yang ana maksudkan. Penyakit 'M' yang kalau tidak bijak merawatnya setelah gagal dicegah akan melarat menjadi penyakit 'TB'. Ana pasti antum tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan penyakit 'TB' di sini. Penyakit 'TB' = 'Tutup Blog'.

Terhenti sebentar penulisan tatkala sahabat seblok datang menjengah.

"Akak, nak masak ape sahur besok?" Alhamdulillah, ALLAH mengurniakan adik-adik yang sentiasa mengambil berat akan sahabat. Bulan Ramadhan menjadi lebih indah dengan ikatan ukhwah yang semakin erat bertaut. Banyak lagi keindahan di bulan kemuliaan ini kalau ditilik dalam-dalam. Bukan setakat pengerat ukhwah, malah menjadi agen penghijrahan seorang individu Muslim. Penghijrahan daripada sifat mazmumah kepada sifat mahmudah. Insya'ALLAH dengan terantainya syaitan yang sentiasa berbisik kepada manusia untuk melakukan kejahatan, manusia yang berjaya mengekang hawa nafsu akan mendapat ganjaran yang selayaknya.

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya)." (79:40-41)

Bersama-samalah kita mengejar ganjaran yang dijanjikan oleh ALLAH untuk hamba-hambaNYA yang berusaha untuk mendapatkannya. Semoga Ramadhan kali ini menjadi titik pembaharuan untuk menjadi hamba yang dekat padaNYA.

Kembali kepada point utama, iaitu tentang penulisan di blog. Suka ana berkongsi kata-kata seorang blogger, menulis itu mengubah peradaban. Hebatnya seorang penulis kerana mampu mengubah peradaban! Tetapi penulisan yang bagaimana yang mampu mengubah peradaban? Adakah catatan harian yang santai, atau tinta fikiran yang tajam memecah perisai zamannya, atau sekadar "contengan" (bak kata seorang lagi blogger) yang akhirnya mencetus keinginan orang lain untuk menulis? Mungkin para pembaca ada jawapannya.

Keinginan untuk menulis itu ada, tetapi separuh perjalanan sahaja daya fikir sudah terbantut. Kadang-kadang ana cemburu dengan sahabat-sahabat yang hebat pemikirannya sehingga boleh menulis di blog setiap hari tidak kira masa itu mereka lapang atau tidak, bahkan ada yang boleh menulis sehingga beberapa jam sekali. Maksudnya, dalam sehari itu mereka boleh menulis lebih dari sekali. Contohnya sahabat-sahabat di bawah:

Akhi Dzulkhairi
Akhi Zulhilmey
Akhi Aizat
Akhi Hafizul Hilmi
Ukhti Nurul 'Uyun
Ukhti Intan Farhana
Ukhti Asmah Andy

Sesiapa yang ingin mencari inspirasi untuk menulis, bolehlah berkunjung ke blog mereka. Semoga ALLAH terus memberikan mereka ilham untuk menulis sambil menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Dan semoga diri ini juga boleh mencontohi mereka yang rajin mengemaskini blog supaya tidak berusang dek sawang serangga pembawa penyakit 'M' dan 'TB'.

Bercakap tentang penyakit, semakin ramai sahabat di sekeliling yang batuk-batuk, demam dan selesema. Diri ini pun sudah mula batuk-batuk dan bersin-bersin. Dalam keadaan penularan penyakit H1N1 sekarang ini, kebersihan diri amat ditekankan. Hinggakan memakai topeng muka sahaja pun sudah tidak berkesan; yang paling penting adalah sentiasa membasuh tangan dengan air dan sabun mengikut 7 langkah mencuci tangan yang betul terutama sekali selepas bersin. Akhir-akhir ini juga ana mendapat mesej daripada sahabat-sahabat mengenai langkah pencegahan penularan penyakit H1N1 iaitu dengan memakan banyak BAWANG, KURMA dan MADU serta mengambil makanan dan minuman BERALKALI. Sejauh mana bahan-bahan ini boleh membantu, ana kurang pasti. Mungkin ada di kalangan sahabat yang membaca mahu berkongsi ilmu kimia masing-masing. Wallahu'alam.

Akhir kata, doakan agar diri ini dan juga sahabat-sahabat sentiasa mendapat petunjuk dan ilham daripada ALLAH untuk terus menulis perkara-perkara bermanfaat.

Selamat menjalani ibadah puasa.

P/S: Er, kena makan bawang ke...???? Hurm. Sahur esok makan nasi goreng lah ye, Angah percaya kat Usu.. Along, Achik & Uda jangan jeles ye... :)

Pautan Rasa (7) / Read More

Saturday, August 22, 2009 / Labels:

Salam Kemaafan, Salam Ramadhan

Salam mahasiswa. Di kesempatan ini, ana mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan kepada seluruh warga UTM yang beragama Islam khasnya, dan seluruh umat Islam di dunia amnya. Selamat berpuasa dan selamat melipat-gandakan amalan. Manfaatkan bulan yang penuh berkat ini untuk mendekatkan diri kepada ALLAH s.w.t.

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." [2:183]

~Salam Kemaafan, Salam Ramadhan~

Pautan Rasa (5) / Read More

Sunday, August 16, 2009 / Labels:

H1N1 - Jangan Putus Harapan

Muhyiddin: Not practical to disclose H1N1 hotspots

KUANTAN, Aug 15 – The government has decided against releasing information on Influenza A(H1N1) hot spots in the country, with Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin saying it was not a practical idea.

He said that disclosing locations with rampant A(H1N1) cases would bring about numerous implications.

For instance, if an area was declared to be free of A(H1N1), the people there might take the pandemic for granted.

On the other hand, he said, if a locality was declare to be a H1N1 hot spot, this would negatively impact the area.

“For instance if there are A(H1N1) cases detected in Kuantan, we cannot say don’t go to Kuantan. On the other hand, those living outside the hot spots may take the matter lightly. This is also dangerous,” he told reporters here.

Muhyiddin said yesterday that he would discuss with Health Ministry officials the possibility of releasing information on locations with rampant A(H1N1) cases.

He said he had discussed the matter with Health Minister Datuk Seri Liow Tiong Lai and came to the conclusion that there was no necessity to do so.

Several consumer associations had urged the Health Ministry to disclose the Influenza A(H1N1) hot spots, especially areas which involved deaths.

Muhyiddin said it was difficult to classify A(H1N1) hot spots due to the existence of cross-border transmissions.

“It’s not like disclosing haze hot spots where we are able to pinpoint their exact locations on the map. This is about viral transmission which also occurred in other countries and not confine to certain localities,” he said.

What was important, said Muhyiddin, was for all to take precautionary measures and heed the advice of health authorities.

In a related development, Muhyiddin said, the government had spent RM40 million to acquire additional supply of the antiviral drug, Tamiflu.

“We want the supply to be increased from 10 per cent to 20 per cent in all hospitals and clinics. We have also spent RM3 million to distribute face masks to students nationwide,” he said.

He also instructed the Health Ministry to shorten the waiting time for treatment in view of overcrowding in hospitals of late.

“Hospitals should give priority to treating those displaying severe symptoms of the illness,” he said. – Bernama

The Malaysian Insider

5 juta rakyat Malaysia akan dijangkiti H1N1

BUKIT MERTAJAM 15 Ogos — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus selesema babi atau influenza A (H1N1) jika langkah pencegahan tidak diambil secara serius oleh orang ramai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian WHO juga menjangkakan penularan wabak itu mungkin berlarutan antara enam bulan hingga setahun lagi.

“Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam di sini hari ini.

- BERNAMA

Utusan Malaysia

Salam mahasiswa. Sudah terlalu banyak kes H1N1 yang didengari dan dibaca akhir-akhir ini. Bilangan kematian disebabkan virus ini di negara kita sudah semakin meningkat hari demi hari. Kerajaan pun sudah buntu memikirkan cara untuk mencegahnya kerana kes sudah berada di tahap penularan, bukan lagi di peringkat awal. Apa yang mampu kerajaan lakukan untuk rakyat adalah menasihati semua supaya menjaga kebersihan diri masing-masing dan memastikan vaksin Tamiflu sentiasa mencukupi di pusat-pusat kesihatan. Tidak kurang juga dengan sebaran doa pelindung H1N1 melalui email-email yang akhirnya mencetuskan kontroversi kerana asalnya daripada kumpulan al-Arqam yang pernah diharamkan. Penggunaan topeng-topeng muka pula sudah menjadi keharusan apabila keluar ke tempat-tempat awam. Di UTM sendiri, ana lihat ramai dikalangan mahasiswa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka untuk berkunjung ke tapak Pesta Konvokesyen ke-43. Kalau bukan bertopeng pun, ada yang sentiasa menutup hidung dan mulut dengan menggunakan sapu tangan, kain tudung bahkan dengan tangan sendiri. Malah bagi ana, pemakaian purdah pun sepatutnya dibolehkan(kerana mahasiswa UTM tidak dibenarkan berpurdah) untuk mencegah daripada terkena mahupun 'tersebar' jangkitan virus yang berkenaan.

Walau apapun cara yang digunakan, ana menasihatkan sahabat-sahabat agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam mencegah virus Influenza A H1N1. Dalam mengaplikasikan pelbagai cara pencegahan yang ana nampak agak teknikal, untuk mahasiswa yang Muslim, jangan sesekali antum putus berdoa agar dipelihara dan dilindungi oleh ALLAH S.W.T dalam melaksanakan segala urusan. Jangan melihat doa itu sesuatu yang remeh dan kurang praktikal kerana doa merupakan senjata mukmin, ke mana lagi pergantungan kita kalau bukan kepada ALLAH S.W.T. Kalau memakai topeng muka sekalipun, kita masih perlu memohon kepada ALLAH S.W.T agar topeng muka itu mampu melindungi kita daripada penyakit-penyakit berbahaya, kerana nyawa kita berada dalam pegangan-NYA, bukan dalam lipatan topeng muka. Kepada ALLAH lah sepatutnya kita meletakkan segala pengharapan. Wallahu'alam.

P/S: Mahasiswa UTM akan mendapat mask H1N1 percuma tidak lama lagi. Tunggu~

Pautan Rasa (2) / Read More

Thursday, August 6, 2009 / Labels:

Peringatan Buat Diri

Salam mahasiswa. Sudah agak lama ana tidak mengupdate blog. Semenjak menjadi mahasiswa tahun akhir, semakin bertimbun kerja yang perlu diselesaikan. Kadang-kadang sehingga 2-3 kerja perlu disiapkan dalam satu masa yang sama. Di sinilah perlunya ana menyusun kerja yang perlu disiapkan mengikut keutamaan. Assignment pun kadang-kadang hampir jam 4 pagi baru dapat ana selesaikan setelah mengikuti beberapa siri mesyuarat. Ya, tanggungjawab anda lebih banyak dari masa! Ingat tu! Oleh itu, pengurusan masa secara bijaksana amat penting wahai sahabat~

-----Ana akui masa rehat adalah untuk kita rehat dan makan secukupnya, apatah lagi dari pagi dah kena hentam dengan subjek-subjek berat seperi Matematik Tambahan, Fizik, Kimia n bla-bla jika kita bersekolah di waktu pagi n ambil aliran sains, pasti tenaga n kemampuan otak kita diguna sebaik mungkin untuk memahami mata pelajaran yang nak dipelajari... Ana tidak nafikan, pasti ada sekelumit rasa mengantuk dalam diri pelajar, namun apabila ana teringat akan salah satu ciri-ciri 10 Muwasafat iaitu: Mampu Melawan Nafsu (Mujahadah ala Nafsi), barulah kita nak melawan nafsu hendak tidur dan tak nak dengar cikgu mengajar..Apa kaitannya pula dengan perjuangan seorang daie? Ilmu itu penting untuk dipelajari, bukan sahaja ilmu akhirat yang perlu dipelajari oleh kita, ilmu dunia seperti Bahasa Melayu, Sains, Kimia, Prinsip Akaun juga perlu diambil kira.. Justeru, kalau kita berilmu, senanglah nak ajak orang ke arah kebaikan..Selain belajar, kita dapat mengajar orang lain pula, masa mengajar mereka, masa itu juga boleh digunakan oleh daie untuk menyelitkan sedikit ilmu akhirat sekadar yang diketahui..Sambil belajar sambil tu kita mengajak orang..hati perlu terikat pada surah Muhammad ayat 7: "Wahai orang-orang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan menguatkan kedudukan kamu (posisi kamu)."-----


Alhamdulillah, kunjungan ke blog adinda ana beberapa minit tadi menaikkan semangat ana. Kalau adinda ana boleh berkata-kata begitu, kenapa tidak boleh ana mengamalkannya? Jazakallah dik, kakakmu memang perlukan kata-kata seperti ini. Teruskan usahamu membangunkan hati-hati yang tertidur kerana leka dengan dunia.

* * * * * * *

Bercakap tentang tidur, entah mengapa, sejak akhir-akhir ini ana asyik bermimpi yang pelik-pelik dan kalau terlalu difikirkan boleh memurungkan ana. "Ish, mimpi mainan tidur!" Ok, mungkin memang patut ana lupakan sahaja mimpi-mimpi yang dahsyat itu kerana mengingatkannya pasti akan membuatkan ana berfikir yang bukan-bukan dan memedihkan hati.

* * * * * * *

Kenapa bukan semua yang menulis itu boleh bercakap, tetapi semua yang boleh bercakap itu boleh menulis? Ana sering dihujani persoalan-persoalan seperti ini oleh sahabat-sahabat seperjuangan kerana masing-masing sedang berusaha untuk menyumbangkan idea dan pandangan tanpa rasa gugup dan gementar. Aduh, ana juga termasuk dalam golongan yang tidak kritis! Adakah antum boleh menerima perkara itu? Tidak semua boleh menerimanya kerana bukan semua yang faham. Adakah antum bermasalah seperti ana dan sahabat-sahabat lain? Kalau ya, jom ke Bengkel Pidato Karnival Wanita 2009 (KAWAN '09) Sabtu ini di L50. Bolehlah belajar untuk berhadapan dengan pelbagai macam orang dan membina keyakinan diri. Maklumat lanjut boleh didapati di blog KAWAN '09

* * * * * * *

Jom sokong UTM sebagai Kawasan Larangan Bonceng antara BUKAN MAHRAM. BUKAN MAHRAM. Ana ulangi, BUKAN MAHRAM. "Awat minah ni, tiba-tiba je nak promote." Bukan tujuan ana untuk mempromosi, dah lama dah rasanya banner UTM Say No 2 Bonceng tu ada pada blog ni. Ana terkilan dengan mahasiswa yang kurang faham tujuan kami mengadakan kempen seperti ini. Betullah, sesuatu kebenaran itu tidak ramai yang menyukainya, tetapi kemungkaran itu ramai yang mengikutinya - ketahuilah, syaitan sedang mentertawakan kamu.

* * * * * * *

Maaflah, entri kali ini nampak agak bercelaru. Yang paling ana nak kongsikan di sini sebenarnya adalah kata-kata daripada adinda ana itu agar kita bersama-sama muhasabah diri mengenai usia yang kita habiskan di dunia ini. (Oh, terlupa! Syukran buat semua yang mendoakan pada hari kelahiran ana yang lalu) Setiap makhluk bertanggungjawab ke atas umurnya sendiri, tanyalah pada diri, ke mana usia kita telah dihabiskan?

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Sesungguhnya orang yang paling ku benci dan yang paling jauh dariku di antara kamu pada hari kiamat adalah orang yang banyak berbicara, bermulut celupar dan berlagak pandai."
(HR Tarmizi)
-sebagai peringatan buat diri yang hina-

Pautan Rasa (0) / Read More